Perumahan Terbengkalai Gong Chempedak dalam Perhatian Kerajaan

KUALA TERENGGANU, 16 Julai – Isu perumahan terbengkalai di Kampung Gong Chempedak , di mana projek perumahan yang mencatat kemajuan 47.54 peratus itu tergendala akibat masalah dengan pihak pemaju kini dalam perhatian kerajaan negeri

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerajaan negeri serta pihak kerajaan tempatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengadakan pertemuan bersama dengan para pembeli Perumahan Swasta di Wisma Darul Iman petang semalam.

Menurutnya, pertemuan tersebut bertujuan untuk membincangkan langkah-langkah penyelesaian bagi mengatasi kesulitan yang dihadapi dalam projek perumahan tersebut 

“KPKT melalui Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta (BPPS), telah mengambil langkah proaktif dengan merancang perlantikan kontraktor penyelamat untuk menyiapkan projek berkenaan.

“Permohonan bagi proses kerja ini telah diajukan kepada YB Menteri KPKT pada bulan Mei 2024,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya semalam.

Wan Sukairi berkata dengan jangkaan kelulusan yang diharapkan, BPPS, KPKT akan menjalankan penyelarasan antara kontraktor penyelamat, pihak bank, dan pembeli perumahan untuk memastikan penyelesaian projek dilakukan secara berkesan dan bersepadu.

Beliau menegaskan komitmen untuk terus mengangkat isu berkenaan kepada YB Menteri KPKT bagi memastikan tindakan segera dapat diambil demi kepentingan semua pihak yang terlibat.

“Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan berusaha sedaya upaya dalam menangani isu projek perumahan yang terbengkalai di Kampung Gong Chempedak, Marang itu.

“Dengan harapan untuk membawa penyelesaian yang memuaskan bagi pembeli dan komuniti setempat,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: