Haji Sazali Mohd Noor.
Oleh: Dzakaria Salleh

SETIU - Pegawai Media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) tidak seharusnya teragak-agak (takut) melaporkan berita secara berfakta melalui apa yang didengar dan dilihat.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi UPDI, Haji Sazali Mohd Noor, dua elemen itu adalah penting selain daripada berita yang dilaporkan perlu sampai kepada masyarakat melalui pelbagai medium.

"Berita yang dilaporkan mesti berfakta, jangan takut untuk menulis," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pertemuan khas bersama semua Pegawai Media Kawasan Setiu di NR Cafe Nyatoh, Permaisuri, kelmarin (10 September).

Tegasnya lagi, menjadi tugas pengamal media memahami sesuatu isu dan menyebarkannya kepada masyarakat melalui medium yang ada selari dengan kepantasan teknologi sekarang.

"Semua berita yang dilaporkan harus ditularkan melalui media sosial bagi membantu Kerajaan Negeri Terengganu menyampaikan dasar pentadbirannya kepada rakyat," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama antara pegawai media UPDI dan pegawai multimedia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) sangat penting dan harus digarap dalam menjayakan agenda Terengganu Maju, Berkat Sejahtera.

Turut hadir, Pegawai Multimedia i-MiTS Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Abd Raof Mohamed dan Pegawai Multimedia i-MiTS DUN Permaisuri, Mohd Afiq Khairuddin.

Tag: