Pukul OKU : 'Lelaki Berbaju Hijau Adalah Saya' - Exco Bidas Fitnah Jijik
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Golongan agamawan dan daie di negeri ini diingatkan supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan perlu berhati-hati dalam mengemukakan sebarang pandangan mengenai vaksin COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sebarang pandangan yang dikemukakan seseorang di luar bidang ilmu dan kepakarannya dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan.
“Pada masa sama, pastinya akan timbul salah tanggapan dalam kalangan masyarakat terutamanya orang awam.
“Pihak yang mempunyai kepakaran khusus mengenai vaksin COVID-19 adalah mereka yang berkecimpung dalam bidang perubatan seperti doktor, pengamal perubatan, ahli farmasi dan sebagainya.
“Sekiranya tetap mahu beri pandangan mestilah berdasarkan kajian terperinci dan tidak bertentangan dengan apa yang dikemukakan oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demkian ketika berucap dalam Program Tausiyah Dhuha Daie Terengganu bersama Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al Makki di Dewan Cindai Ballroom, Duyong Marina & Resort, hari ini.
Mohd Nor turut mengingatkan daie agar sentiasa mencari ilmu baru dan menjaga adab ketika menyampaikan ceramah.
Katanya, menyampaikan ilmu bergantung kepada keadaan masyakat setempat. Jika orang kampung, sewajarnya menggunakan bahasa yang mudah difahami.
“Ketika menggunakan laman sosial pula, setiap kata-kata perlu diperhalusi kerana setiap apa yang dipaparkan akan menjadi ikutan terutama bagi mereka yang cetek ilmu agama,” katanya.