Jelajah ANMS Tarik 6,000 Peserta Gaya Hidup Sihat

KUALA NERUS, 4 Ogos – Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan selama dua hari bermula 2 hingga 3 Ogos 2024 berjaya menarik penyertaan lebih 6,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja memuji program tersebut sebagai platform penting untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan meningkatkan literasi kesihatan di kalangan rakyat Terengganu.

Katanya, fokus utama program berkenaan adalah untuk melahirkan rakyat yang sihat dari segi fizikal dan mental, serta hidup dalam persekitaran yang bersih dan indah.

“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta tetapi juga menyebarkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental. 

"Selain itu, saya berharap inisiatif ini akan terus memacu usaha untuk memupuk gaya hidup sihat di kalangan masyarakat Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Negeri Terengganu di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Stadium Gong Badak di sini hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong.

Tambah Bijaya, penganjuran program itu bukan hanya untuk melihat pada jumlah peserta, tetapi juga pada impak positif yang dibawa oleh pelbagai aktiviti dan inisiatif kesihatan yang telah dilaksanakan.

Tambahnya, pelbagai aktiviti yang dijalankan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, sesi ceramah kesihatan, bengkel pengurusan stres, dan pertandingan kecergasan. 

“Sebagai usaha untuk memastikan rakyat Terengganu sentiasa sihat sepanjang hayat, kita memerlukan akses kepada kemudahan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif.

"Sebagai contoh, JKNT menyediakan satu infrastruktur Wellness Hub Terengganu yang menyediakan perkhidmatan promosi kesihatan (One Stop Community Centre) dalam menggalakkan komuniti mengamalkan cara hidup sihat bagi mencapai kesejahteraan hidup,” katanya.

Tambahnya, program tersebut turut melibatkan 20 agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, serta sektor swasta yang menyertai melalui pameran dan aktiviti kesihatan. 

Beliau turut memberi penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama dalam menjayakan acara ini, yang jelas menunjukkan komitmen bersama dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

 


Tag: