Kafe Bas Jana Ekonomi Masjid Al-Muktafi Billah Shah

Kafe Bas MAMBS galak masyarakat membeli sambil menderma
KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Masjid Al-Muktafi Billah Shah (MAMBS) memperkenalkan Kafe Bas sebagai usaha menggalakkan masyarakat bersama-sama menjana pendapatan masjid sekaligus menjadikan ia sebagai dana tetap untuk menjalankan aktiviti dan dakwah.

Pengerusi MAMBS, Datuk Wan Mohd Albakri Wan Md Nor berkata, pembukaan Kafe Bas juga bertujuan menyemarakkan lagi fungsi dan peranan masjid.










Masjid bukanlah hanya sebuah rumah ibadat, ia juga berperanan sebagai pusat komuniti, tempat berkumpul dan melakukan aktiviti yang menjurus kepada kebaikan dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Jadi tidak mustahil sekiranya kawasan masjid boleh dijadikan medan untuk menambah dana masjid itu sendiri dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan selain turut berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pendidikan dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kafe Bas di MAMBS, hari ini.

Katanya, pembukaan kafe tersebut juga turut memberi peluang kepada para usahawan yang terlibat dalam industri makanan untuk mempromosikan produk masing-masing.

“Kita akan membantu mereka dari aspek pembungkusan dan penjenamaan supaya para usahawan yang terlibat ada identiti tersendiri, malah kita juga sedang mencari golongan asnaf yang dapat menyediakan makanan berkualiti untuk dijual di Kafe Bas yang sekali gus dapat membantu golongan ini menjana pendapatan sampingan,” ujarnya.

Tambah beliau, pembukaan Kafe Bas juga diharap dapat membudayakan sikap membeli sambil menderma di kalangan masyarakat.

“Keuntungan daripada hasil jualan di kafe ini akan dimasukkan terus ke tabung masjid dan kita juga mengharapkan lebih banyak syarikat korporat serta individu yang ingin bersedekah boleh menyumbang makanan untuk kita jual dan keuntungan akan pergi kepada tabung masjid,” ujarnya.


Sementara itu, ditanya tentang kos pembinaan kafe tersebut, beliau berkata, bas yang diubah suai menjadi kafe itu adalah sumbangan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.

“Manakala, lain-lain termasuk peralatan, kelengkapan dan sebagainya adalah antara sumbangan syarikat korporat serta orang perseorangan,” ujarnya.

Katanya, kafe tersebut menyediakan menu sarapan pagi seperti nasi dagang, nasi lemak, nasi minyak, kuih muih tradisional serta juadah minum petang seperti keropok lekor, popia goreng dan sebagainya yang menawarkan harga berpatutan.

“Kafe ini akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan akan berhenti seketika waktu operasinya antara pukul 12.30 tengahari sehingga 1.30 petang,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama katanya, MAMBS juga akan membuka kedai gunting awal tahun hadapan dan buat permulaan memberi peluang pekerjaan sebagai tukang gunting kepada empat orang anak asnaf.

“Ini merupakan salah satu lagi usaha kita untuk menjana ekonomi masjid di samping membantu golongan yang memerlukan.

“Jika sebelum ini golongan belia ‘segan’ untuk mendekati kawasan masjid apatah lagi memasuki masjid, diharap dengan adanya aktiviti sebegini mereka akan lebih dekat dengan masjid sekaligus dapat menggalakkan golongan belia untuk datang.

Apabila mereka mula berada dekat dengan masjid sekaligus sedikit sebanyak dapat menarik mereka untuk turut bersama-masa mengimarahkan masjid,” ujarnya.

Tag: