Kenapa Padam, Apa Salah MB Terengganu?

Selepas tular berita video di Tiktok Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dibuang daripada platform media terbabit tanpa sebarang sebab, timbul pelbagai tanda tanya daripada kalangan rakyat.

Rata-rata mereka mempersoalkan mengapa ia dipadamkan, sedangkan semua video tidak memburukan atau memprovokasi pihak tertentu, apatah lagi menghina kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Lebih memeranjatkan, satu daripada belasan video yang dipadam adalah penceritaan berkait dengan perpaduan kaum dan agama yang wujud di Terengganu oleh seorang warga emas berbangsa cina.

Warga emas yang mesra disapa dengan panggilan Aunty Amy Chua itu berkata, beliau sangat sedih apabila dimaklumkan video yang sudah mencecah 5.9 juta tontonan lesap sekelip mata.

Katanya, dia merasa amat pelik sedangkan ucapannya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

"Kali terakhir 'aunty' semak ada 5.9 juta tontonan, sebab hari-hari 'aunty' balas komen orang.

"Tiba-tiba hilang macam tu saja, sedih memang sedih," katanya ketika membalas komen di laporan berkait video terbabit.

Dalam video itu, Aunty Amy menegaskan, dia dan rakan-rakan bukan islam yang lain tidak pernah sesekali dipaksa menukar agama atau masuk islam.

"Kami bebas mengamalkan agama kami, tokong-tokong di sini pula ada seperti biasa, tak pernah diroboh oleh kerajaan hari ini.

"Agama kami bebas diamalkan. Apa yang timbul hanya cerita tak betul yang dimainkan pihak tertentu," katanya.

Hasil semakan juga mendapati video yang dipadam rata-rata mempunyai tontonan antara 500 ribu hingga 1 juta.

Jelas sekali rakyat berhak tahu apa sebenarnya berlaku? siapa yang baling batu sembunyi tangan? adakah Menteri Besar Terengganu menjadi ancaman kepada orang ramai? adakah ia sebab teknikal? Hanya pihak berautoriti yang tahu. 

Saya percaya Kerajaan Persekutuan juga tidak merestui perbuatan ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah watak yang cukup lantang bercakap soal kebebasan media.

Bahkan, Anwar juga mahu perpaduan kaum diangkat sejajar dengan dasar kerajaan madani.

Justeru, apa yang dipaparkan dalam video di TikTok Ahmad Samsuri mengenai perpaduan yang wujud antara kaum melayu, cina dan india di Terengganu wajar disebarluaskan, bukan dipadam.

Ini bagi juga bagi menutup mulut segelintir pihak yang mengatakan tidak wujud perpaduan kaum di bawah pemerintahan selain kerajaan madani.

Akhir kata, perkara yang patut dipadam adalah tindakan ‘tangan-tangan’ ghaib yang cuba memadam fakta sebenar.

Muhammad Husaif Mamat,
Ketua Editor TRDI News
.


Tag: