Kerajaan Beri Insentif Untuk Pengusaha Beca, Bot Penambang

Ahmad Razif menyampaikan sumbangan kepada nelayan. Foto oleh CW Zulkifli.
Kerajaan negeri tidak meminggirkan kebajikan pengusaha beca dan bot penambang apabila golongan itu bakal menikmati keistimewaan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, 60 pengusaha beca dan 20 bot penambang menerima insentif daripada kerajaan negeri sebanyak RM200 seorang setiap bulan dan bermula tahun hadapan pula, beca dan bot mereka akan berwajah baru.

Selain itu, mereka juga akan turut menerima beca baru yang berharga hampir RM6,000 sebuah.

“Beca ini sedang diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan ianya menggunakan konsep yang hampir sama dengan beca di Singapura di mana menggunakan fiber.

“Kos yang telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat adalah RM3,000 bagi setiap satu manakala kerajaan negeri pula bersetuju untuk menambah hampir RM3,000 lagi untuk pembelian beca tersebut kerana kita tidak mahu beca lama menimbulkan masalah kepada mereka,” katanya.


Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Nelayan, Buruh, Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang dan Penyerahan Mobile Preneur Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Felcra Training & Consultancy Rohaizat Ahmad dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memperuntukkan RM600,000 bagi membaiki dan menambah baik bot penambang termasuk dari segi pencahayaan.

“Setiap bot penambang kita salurkan RM30,000 dan sebanyak 20 buah bot akan dibaiki melalui empat fasa di mana setiap fasa lima buah bot akan dibaiki.

“Tender bagi pembaikan bot tersebut telah ditutup dan difahamkan keputusan akan dikeluarkan tidak lama lagi. Kita tidak boleh baiki serentak kerana nanti tiada bot penambang yang akan beroperasi,” katanya.


Tag: