Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Rakyat Terengganu tanpa mengira kaum dan agama diseru mengibarkan jalur gemilang di premis dan rumah masing-masing bagi menzahirkan kecintaan kepada negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rasa cinta kepada negara itu juga dapat disemarakkan lagi dengan mengenang pengorbanan para pejuang kemerdekaan terdahulu.
“Setiap tahun kita menyambut Bulan Kemerdekaan sejak negara ini mencapai kemerdekaannya dan sudah tentu makna kemerdekaan ini dapat dihayati sepenuh jiwa dan raga oleh generasi yang telah meninggalkan kita.
“Generasi yang ada pada hari ini tidak pernah merasai hidup di bawah penjajahan, namun tanpa direncanakan oleh manusia kita diuji oleh Allah SWT selama dua tahun berdepan dengan pandemik COVID-19 yang telah menghadkan kebebasan yang dinikmati sebelum ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, pengalaman hidup di fasa pandemik sekurang-kurangnya telah mengajar erti kebebasan sebenar dan penting untuk rakyat menjaga nikmat kemerdekaan.
“Selari dengan tema Hari Kebangsaan kali ini iaitu ‘Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’, menggambarkan bahawa semangat perpaduan dan integrasi nasional merupakan senjata yang amat penting yang perlu kita miliki dan pelihara.
“Melalui sambutan bulan kemerdekaan dan kempen jalur gemilang ini, marilah kita bersama-sama mengibarkan jalur gemilang sebagai usaha paling mudah untuk bersama-sama menyahut kemerdekaan yang sedang dinikmati kini,” ujarnya.