Kolokium Dedah Ketokohan Umara Dan Ulama

Ustaz Ariffin Deraman.
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Kolokium Umara dan Ulama Terengganu memperkenal dan mendedahkan ketokohan ulama iaitu Sultan Zainal Abidin lll dan Tok Ku Paloh yang terbukti bukan sahaja di Asia Tenggara, bahkan di dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, program seumpama ini memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih mengetahui dan memahami serta menghargai sumbangan besar dalam mengembangkan pemikiran Islam di rantau ini.

“Pihak kerajaan mengalu-alukan program seumpama ini bagi memberikan pendedahan ilmu pengetahuan yang sangat berguna. Begitu juga kita mendalami  pengetahuan yang berkait dengan para ulama  dan juga umara supaya  kita dapat  mendepani isu-isu yang berlaku pada masa sekarang ini.

“Penganjuran kolokium seperti ini  amat bertepatan serta sudah tentu amat  bermakna bukan sahaja bagi pihak muzium malah yang lebih penting  memberi faedah yang berskala mega kepada negeri  dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kolokium Umara dan Ulama Terengganu di Dewan Batu Bersurat Muzium Negeri Terengganu, semalam.

Sebahagian peserta yang hadir. 
Katanya, penganjuran program tersebut adalah satu usaha yang sangat proaktif dengan membawa dan mengumpulkan pakar dan tokoh akademik yang hadir membicarakan  ketokohan ulama dan umara yang tersohor terutamanya dari segi aspek perundangan Islam.

“Tradisi intelektual Islam yang diasaskan kedua-dua tokoh ini  perlu dinyatakan dengan meluas dalam satu perspektif keilmuan  agar ia dapat dihayati dan seterusnya diperjuangkan oleh generasi akan datang.

“Penyebaran secara meluas mengenai pemikiran para umara, ulama dan ilmuan Islam perlu  dibuat secara  serius agar tradisi dapat diteruskan oleh generasi akan datang.

“Ianya bertujuan supaya gabungan  kepimpinan yang mentadbir negeri  Terengganu ini  sejajar dengan perundangan  dan syariat Islam,” ujarnya.

Menurut beliau, usaha untuk memartabat dan mengangkat  nilai sejarah dan nilai budaya sesuatu bangsa bukan satu kerja yang mudah.

Arifin Deraman (tengah) menerima cenderahati daripada Pengarah Muzium Negeri,Che Muhamad Azmi Ngah (kanan).
Tambahnya, ia menuntut segenap kudrat dan keringat yang ada  pada diri termasuk pengaruh serta budaya asing ke dalam diri anak-anak  yang  muktahir ini semakin serius dan semakin membimbangkan.

“Mereka seolah-olah hanyut  dengan  dakyah ciptaan barat yang  semakin melekakan, dengan kecanggihan teknologi maklumat yang ada pada hari ini begitu membimbangkan anak-anak kita.

“Kecintaan dan kepekaan serta kecaknaan mereka terhadap fakta dan  nilai sejarah  warisan sendiri  semakin terabai dan terhakis,” jelasnya.

Justeru, katanya, program seumpama ini merupakan salah satu langkah ‘serampang dua mata’ yang mampu memberikan nafas kesedaran kepada generasi pelapis pada hari ini agar menjadi insan yang kenal sejarah dan tahu asal usul mereka.

Sehubungan itu, Kolokium Umara dan Ulama Terengganu diadakan semalam bagi memperingati 100 tahun pemergian dua tokoh besar Negeri Terengganu yang telah mengajar erti sebenar  perjuangan yang memperjuangkan kemerdekaan dan membentuk pengisian sebagai sebuah negeri bebas yang berdaulat  mengikut acuan sendiri.







Tag: