MAIDAM Agih RM3.634 Juta Bantu Golongan Asnaf Terlibat Musibah

KUALA TERENGGANU, 8 September - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengagihkan sebanyak RM3.634 juta untuk membantu golongan asnaf yang terlibat musibah sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, bantuan itu turut membabitkan golongan fakir miskin yang menghadapi bencana kebakaran rumah serta kerosakan kediaman akibat ribut dan banjir.

Katanya, bantuan yang diberikan itu ada bersifat segera dan juga jangka masa panjang.

"Antara bantuan segera yang dihulurkan ialah kita akan sampaikan bantuan kewangan antara RM800 hingga RM1,000 untuk setiap penerima bergantung kepada bilangan keluarga yang ditanggung oleh ketua rumah ini adalah bantuan segera dalam tempoh yang singkat agar dapat meringankan beban kewangan mangsa yang terlibat.

"Bagi bantuan jangka masa panjang pula, sebanyak RM2.185 juta telah disalurkan untuk membina rumah baharu dan membaik pulih rumah di seluruh Terengganu sejak Januari lalu," ujarnya sebagaimana yang dilaporkan Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut katanya, daripada jumlah keseluruhan jangka masa panjang itu, RM1.74 juta adalah untuk membina rumah baharu kepada 26 penerima dan RM444,600 untuk membaik pulih semula 24 rumah yang rosak akibat pelbagai faktor.

"Kosnya adalah berbeza mengikut jenis kerosakan rumah dan MAIDAM berharap bantuan yang diberi ini dapat menceriakan semula mangsa untuk memulakan hidup baru,"ujarnya lagi.

 


Tag: