Mansuh ECRL Merugikan Rakyat Terengganu


Mohd Zubir menyempurnakan Majlis Perasmian Program Menhubung Menyatu @Malaysia Inklusif Negara Digital (MINDA) di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.

“Satu perkara bagi saya akan merugikan orang Terengganu kalau kita bersetuju dengan kenyataan tersebut,” kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir ketika berucap pada Program Bicara Bersama Tun M Siri 2.0: Cabaran Ekonomi Anak Muda baru-baru ini yang menyatakan bahawa pakatan pembangkang tidak menolak kemungkinan menghentikan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika mengambil alih Putrajaya kerana disifatkan satu pembaziran.

Mohd Zubir berkata, setiap projek mega yang akan dilaksanakan kerajaan sudah tentu melibatkan kajian dan perbincangan di beberapa peringkat sebelum diumumkan kepada rakyat.

“Saya cukup percaya, perancangan kerajaan bukan ‘hentam kromo’.

“Sudah ada kajian dan penyelidikan yang cukup teliti bertapa pentingnya kita memerlukan ECRL dan suatu yang amat merugikan sekiranya kita menolak projek ECRL di negeri ini,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Menhubung Menyatu @Malaysia Inklusif Negara Digital (MINDA) di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Ali Mohamad Nor.

Katanya, projek mega yang berimpak tinggi itu adalah demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

“ECRL adalah projek kereta api rakyat yang dapat memendekkan jarak mereka yang berada di Pantai Timur dengan Kuala Lumpur.

“Inilah masanya untuk kita memastikan hubungan kita dengan pusat dekat. Pergi Kuala Lumpur dekat. Sudah lama kita menunggu saat-saat perkhidmatan kereta api kembali berpoerasi di negeri ini,” ujarnya.

Tag: