Sultan Mizan (kiri) mencemar duli menyaksikan surat-surat Raja Melayu zaman silam di Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu 2019 di Kompleks Muzium Kuala Terengganu hari ini. |
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) , Dato’ Mohd Fadzli Yusof berkata, daripada penyelidikan seorang sejarawan, Datuk Dr Annabel Teh Gallop ke atas ratusan manuskrip al-Quran Alam Melayu dalam koleksi Malaysia, Indonesia dan Eropah, didapati manuskrip Terengganu terindah dan halus.
“Dr Annable Teh mendapati wujudnya gaya iluminasi Pantai Timur yang kemudiannya secara jelas memperincikan dua gaya utama Pantai Timur iaitu ‘Gaya Terengganu’ dan 'Gaya Patani’.
Sultan Mizan (kiri) berkenan menyaksikan Warkah Emas DiRaja Terengganu di Kompleks Muzium Kuala Terengganu. |
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu 2019 yang julung kali diadakan di Kompleks Muzium Negeri, di sini hari ini.
Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mencemar duli dan berkenan menyempurnakan majlis perasmian dan melawat pameran tersebut.
Katanya, secara amnya seni iluminasi ini merupakan aspek keindahan, kehalusan dan ketelitian yang menekankan disiplin yang tinggi dalam karya dan penghasilannya.
Jelasnya, sejajar dengan larangan Islam menggunakan bentuk mahkluk bernyawa dalam kesenian, kebanyakan manuskrip Islam menggunakan motif sulur dedaun dan bunga.
Dato’ Mohd Fadzli Yusof. |
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pemeran itu berkata, surat-surat Melayu berhias pula merupakan manifestasi kesenian Melayu yang paling indah.
Katanya, bahan yang paling penting untuk menghiasi surat Melayu ialah emas yang melambangkan keagungan dan kebesaran.
“John Anderson, seorang pekerja Syarikat India Timur (East India Company) di Pulau Pinang ketika melawat Siak pada tahun 1823, satu hari dia menulis, “saya tidak pernah melihat Raja (Siak) berpakaian dengan sebegitu hebat. Baginda sebenarnya seperti sekeping emas yang beradun cantik”.
“Kata-kata yang sama boleh digunakan untuk memeri, salah satu daripada warkah Sultan Ahmad dari Terengganu kepada Gabenur Jeneral di Batavia, Baron Van Der Capellen yang bertarikh 1824,” ujarnya.
Menurutnya, pameran selama sebulan itu dapat memberi pendedahan dan pengetahuan tentang kehebatan iluminasi dan warkah emas DiRaja Terengganu.
“Ia sekali gus dapat memberi nafas baharu dalam usaha mencambahkan kembali warisan seni ragam hias atau iluminasi Melayu Terengganu khasnya.
“Yang demikian, ia dapat memberi kesedaran kepada seluruh anggota masyarakat tentang betapa pentingnya langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan warisan dan seni iluminasi Melayu Terengganu.
“Pada keseluruhannya, ia akan memberi kefahaman tentang salah satu lagi bidang kesenian Terengganu dan kecintaan kepada khat,” jelasnya lagi.