Maritim Tahan Tiga Bot Nelayan, Nilai Rampasan RM4.5 Juta

KUALA TERENGGANU, 27 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu telah menahan tiga bot di perairan negeri melibatkan 30 warga Vietnam semalam.  

Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, kesemua bot itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Redang serta KM Tok Bali dalam OP PAGAR LAUT di antara 26 hingga 110 batu nautika dari Kuala Terengganu. 

“Penahanan melibatkan sebuah bot nelayan asing serta dua buah bot tempatan dengan kru warga Vietnam dalam rondaan bersepadu kapal Maritim Malaysia. 

“Hasil pemeriksaan mendapati semua kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran yang sah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini. 

Ariffin turut memaklumkan bahawa pihaknya mengambil masa selama 30 ke 45 minit sebelum kapal asing itu akur dengan arahan Maritim untuk menyerahkan diri.

“KM Redang turut mengambil masa sekitar 24 jam bagi menunda kapal asing itu ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Maritim Terengganu kerana awak-awak Vietnam bertindak mensabotaj Maritim dengan merosakkan enjin bot mereka.

“Hasil daripada penahanan ini, kita telah merampas hasil laut seberat setengah tan dan 3,000 liter diesel dengan anggaran bernilai RM4.5 juta,” ujarnya.

Jelasnya, awak-awak dan tekong bot berusia 19 hingga 58 tahun akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

OP PAGAR LAUT bermula sejak 14 April lalu dan akan berterusan selama dua minggu selepas perayaan Aidilfitri bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing terutama di perairan pantai timur.

Maritim Malaysia menjangkakan aktiviti pencerobohan akan berlaku lebih kerap selepas musim perayaan bagi aktiviti mencandat sotong, maka pihaknya akan mempertingkatkan rondaan.


Tag: