MBKT Arah Penutupan Pemis Beli Belah 1 Syawal

KUALA TERENGGANU, 9 April – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengarahkan semua kompleks beli-belah, pasar raya dan pasar raya besar di kawasan MBKT tutup sepenuhnya pada 1 Syawal.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latiff berkata premis makanan segera, kedai runcit 24 jam, kedai serbaneka seperti 7 Eleven, Trealeaf Mart, DIY, Eco Shop dan berkaitan pula diarah tutup bermula 12 tengah malam menjelang 1 Syawal.

“Kebenaran beroperasi semula adalah bermula pada jam 1 tengah hari pada hari raya pertama.

“Notis berkaitan arahan itu sudah diedarkan kepada pengurusan dan pemilik gedung perniagaan, selain makluman melalui pelbagai laman sosial termasuk Facebook (FB) (MBKT),” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi MBKT kelmarin.

Tambah Rosli, penutupan premis perniagaan ini bertujuan menghormati bulan Syawal dan pekerja Islam. 

Beliau memohon kerjasama semua pengusaha dan pemilik pasar raya bagi memastikan tiada sebarang aktiviti perniagaan pada sambutan Aidilfitri.

“Pemilik premis dan pengusaha perniagaan beragama Islam yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan, termasuk pembatalan lesen perniagaan,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 


Tag: