KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bertindak menutup dan mengenakan kompaun kepada sebuah pusat urut di Dataran Emas, Jalan Sultan Sulaiman di sini kerana beroperasi secara haram.
Datuk Bandar MBKT, Dato’ Rosli Latif berkata, tindakan itu diambil selepas 11 penguatkuasa MBKT menyerbu premis urutan tradisional berkenaan sekitar jam 11 malam kelmarin.
Kata beliau, pihaknya telah merampas dan menyita beberapa barangan termasuk enam buah tilam, tujuh helai cadar dan tuala, sehelai seluar pendek dan satu set alatan urut.
“Dalam serbuan itu juga kita dapati ada enam warga Thailand yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut dan seorang penjaga kaunter.
"Premis berkenaan dikenakan denda maksima berdasarkan kuasa kami, sebanyak RM1,000 di bawah undang-undang kecil perlesenan tred perniagaan dan perindustrian 2013.
“Sekiranya denda ini tidak dibayar, pemilik premis berkemungkinan dikenakan hukuman lebih berat iaitu denda sehingga RM2,000 jika dibawa ke mahkamah.
“Pemilik premis juga diberi tempoh 30 hari untuk menuntut kembali barangan yang dirampas, jika tidak, barangan tersebut akan dilelong. Suka saya ingatkan, MBKT tak akan berkompromi terhadap sesiapa yang melanggar tatasusila dan undang-undang kerajaan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semalam.
Tambah Rosli, premis milik bukan islam itu tidak akan dibenarkan beroperasi lagi.
Menurut beliau lagi, operasi kelmarin berjaya membuahkan hasil selepas dua bulan MBKT menjalankan intipan.
“Pada malam serbuan, kebetulan terdapat pelanggan yang ingin memasuki premis, ini memberikan peluang kepada pihak penguatkuasa untuk bertindak.
“Ketika serbuan ada tiga pelanggan yang berada di dalam premis tersebut,” katanya.
Mengulas laporan Kosmo mengenai 14 wanita Thailand yang bekerja sebagai pelayan pelanggan didenda RM700 gara-gara menyalahguna pas lawatan sosial, beliau berkata kes berkenaan merupakan kes lama.
“Saya sudah merujuk isu ini dengan Polis Kuala Terengganu, kes itu sekitar Mei lalu, yang keluar dalam Kosmo setelah selesai perbicaraan dan hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.
“MBKT juga sudah memeriksa premis itu dalam beberapa hari dan kami boleh sahkan bahawa premis berkenaan sudah ditutup sepenuhnya," ujarnya.