Pasca Banjir - Tiada Lagi Igauan Mahassan
KEMAMAN, 26 Februari - Kebimbangan keluarga Mahassan Yaakub, 36, yang tinggal berhampiran dengan anak sungai di Kampung Sungai Timah, Kijal kini lenyap setelah hakisan tebing anak sungai tersebut dibaikpulih oleh kerajaan.
Hakisan tanah itu disebabkan oleh air deras yang mengalir masuk melalui anak sungai tersebut akibat hujan lebat yang turun sebelum ini dan hampir meruntuhkan rumah mereka.
Mahassan yang telah menetap selama sepuluh tahun di sini meluahkan perasaan gembiranya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Sungai Timah, semalam.
"Alhamdulillah kerja membaikpulih anak sungai ini telah pun siap maka hilanglah kebimbangan kami.
"Setiap tahun apabila tibanya musim tengkujuh tidak lena tidur kami dibuatnya. Pemantauan pergerakan tanah di belakang rumah perlu dilakukan setiap masa, bimbang rumah ini akan runtuh," katanya.
"Kami amat gembira dan berterima kasih kepada Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan pasukannya yang bersusah payah membantu kami sekeluarga," ujarnya lagi.
Sebelum ini Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) Zabidin Awang dan Penolong Jurutera Pejabat Daerah Kemaman, Khairul Hisham Endut telah turun padang meninjau permasalahan tersebut setelah mendapat aduan daripada Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Padang Kubu (JPKK).
Penambakan anak sungai itu telah menelan belanja hampir RM55 ribu dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman dan Jabatan Parit Saliran Kemaman menerusi Tabung Bencana Negeri Terengganu.