KUALA TERENGGANU, 20 Julai – Pelajar Terengganu bakal menikmati peluang unik melalui program pertukaran pendidikan ke Korea Selatan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengumumkan inisiatif berkenaan semasa Majlis Pembukaan Festival K-Culture 2024 yang dianjurkan oleh Kedutaan Republik Korea di KTCC Mall, Kuala Terengganu, semalam.
Menurutnya, program tersebut adalah hasil hubungan erat antara Terengganu dan Korea Selatan yang diperkukuh melalui pelbagai kerjasama, termasuk dalam bidang budaya dan pendidikan.
“Program pertukaran pendidikan ini akan membuka peluang luas kepada pelajar kita untuk merasai sendiri kehidupan dan sistem pendidikan di Korea Selatan.
“Ia bukan sahaja akan memperkayakan pengetahuan mereka, tetapi juga membentuk mereka menjadi individu yang lebih terbuka dan berdaya saing di peringkat global,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Turut hadir, Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-bae, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif Emart24, Vuitton Pang.
Ahmad Samsuri berkata melalui program tersebut, ianya akan memberikan manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negeri dan negara.
"Dengan pelajar yang kembali ke Terengganu dapat berkongsi pengalaman dan ilmu yang diperoleh di Korea.
“Kami berharap dengan adanya program ini, lebih ramai pelajar Terengganu akan mempunyai pendedahan antarabangsa yang akan membantu mereka dalam kerjaya dan kehidupan mereka di masa depan,” ujarnya.
Beliau berharap dengan program berkenaan dapat mempereratkan lagi hubungan antara rakyat Terengganu dan Korea Selatan.