Pembunuhan Haniyeh 'Sekat' Pendamaian, Gencatan Senjata

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Pembunuhan Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas, telah memberi kesan besar terhadap usaha pendamaian dan gencatan senjata.

Ahli Dewan Negara, Datuk Razali Idris mengecam keras pembunuhan pemimpin Hamas tersebut yang berlaku semasa majlis angkat sumpah presiden Iran, Masoud Pezesfikian, di ibu kota Tehran.

Razali menyatakan bahawa serangan udara yang mengorbankan Haniyeh bersama seorang pengawal peribadi adalah tindakan yang amat memalukan dan kejam, serta tidak boleh diterima dalam konteks undang-undang antarabangsa.

“Tindakan tersebut berpotensi memperburuk ketegangan di Timur Tengah, khususnya di Gaza, dan mungkin memperluaskan konflik ke wilayah lain.

“Walaupun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab, dunia secara amnya mengesyaki bahawa rejim tentera Zionis Israel mungkin terlibat.

"Memandangkan mereka telah mengancam untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas lain sebagai tindak balas kepada konflik berpanjangan di Palestin,” katanya ketika Perbahasan di Dewan Negara pada hari ini.

Razali berkata pembunuhan itu adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip kedaulatan. Ia pasti menjejaskan kestabilan dan keselamatan rantau yang sudah bergolak ini.

Beliau juga memberi amaran bahawa kejadian ini tidak akan menyelesaikan konflik di Palestin, malah ia akan mengakibatkan kitaran keganasan yang lebih berpanjangan dan penderitaan rakyat.

“Saya menyeru agar masyarakat antarabangsa untuk mengutuk tindakan tersebut dan menyeru agar usaha-usaha gencatan senjata dan pendamaian diteruskan, tanpa terjejas oleh tindakan balas dari mana-mana pihak yang terlibat dalam konflik,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: