• 05 Nov 2024 | 03 Jamadil Awal 1446

HULU TERENGGANU, 24 Disember - Penduduk Kampung Pengkalan Ajal di sini sudah lali dengan banjir yang melanda sehingga tiga kali dalam tempoh setahun dan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir (PPS).

Setiap kali ditimpa musibah itu, penduduk bukan sahaja menanggung kerugian apabila banyak kelengkapan rumah dan harta benda rosak, malah terpaksa berkorban masa dan keringat membersihkan rumah.

Salah seorang mangsa banjir, Roslin Mohamad, 58, berkata, saban tahun  mereka sekeluarga berdepan dengan banjir sejak dia kecil lagi.

"Memang setiap kali musim tengkujuh kami menjadi penghuni setia di PPS dan pernah berlindung di sini lebih dari lima hari.

"Walaupun agak memenatkan kami tidak serik untuk berpindah ke PPS kerana kami mungkin akan mengalami kesukaran jika tidak berpindah," katanya ketika ditemui di PPS Pengkalan Ajal, di sini,  hari ini.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia sudah serik dengan banjir yang besar tetapi apakan daya kerana ia adalah fenomena alam yang tidak boleh dihalang. 

"Apa yang penting saya sekeluarga sudah berada di tempat selamat walaupun pusat pemindahan sementara ini juga mungkin terperangkap seperti tahun lepas," ujarnya.

Manakala Ruzita Sulong, 51, berkata setiap kali berlaku banjir mesti ada barang yang rosak tidak dapat diselamatkan.

"Bagaimanapun kali ini saya sekeluarga memindahkan barang ke tempat selamat dengan segera apabila hujan lebat berterusan.

"Apabila hujan lebat pada Sabtu, saya mula berkemas barang untuk dipindahkan," katanya.

Dalam kejadian banjir pagi ini seramai 139 penduduk daripada 74 keluarga di kampung itu dipindahkan ke PPS, selepas kediaman masing-masing dinaiki air akibat limpahan Sungai Berang.