Oleh: Adli Mohamad
DUNGUN, 2 Julai - Sebuah rumah usang di Taman Madani, Durian Mas, 53 kilometer dari sini, roboh ketika empat orang penghuninya nyenyak tidur jam lima pagi semalam.
Bagaimanapun semua penghuni rumah dua bilik itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan anggaran kerugian berjumlah RM30 ribu.
Serentak itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, beliau telah meninjau keadaan rumah itu dan telah menemui keluarga mangsa seawal jam tujuh pagi semalam.
"Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan saya telah pun merujuk perkara ini pada pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
"Pihak KETENGAH akan bantu mangsa dengan memberi rumah lain untuk sementara waktu, dengan bayaran RM100 sebulan selama setahun, sebelum mendapat rumah baharu," katanya selepas melawat mangsa di taman berkenaan semalam.
Sementara itu, ketua keluarga mangsa, Mohd Rohaimi Mohd Yunus, 34, ketika dihubungi berkata, hari ini beliau baru sahaja menerima kunci rumah sementara dan akan berpindah ke rumah berkenaan dalam sehari dua ini.
"Saya akan pindahkan barang keperluan keluarga saya hari ini dengan bantuan rakan-rakan sekerja untuk persiapan tinggal di rumah itu yang tidak jauh dari rumah usang itu.
"Kami masih terkejut dengan apa yang berlaku dan semalam kami tidak boleh bercakap banyak dan tidak dapat tidur mengenangkan peristiwa yang berlaku," jelasnya yang bekerja sebagai penggrid buah sawit di Kilang Sawit RISDA Durian Mas, di sini.
Bagaimanapun beliau dan keluarga termasuk isteri, Nurul Shakira Mohd Nasir, 25, Muhammad Amirul Aiman Abdullah, 5 dan Nurul Airish Aralyn Mohd Rohaimi, 4 berada dalam keadaan stabil dan redha dengan apa yang berlaku.
Buat sementara waktu, beliau sekeluarga tinggal di rumah ayahnya yang berhampiran.
Menceritakan semula peristiwa yang berlaku, Mohd Rohaimi berkata, beliau dan isteri yang tidak bekerja terkejut apabila mendengar anak tiri lelakinya (Muhammad Amirul) menangis dengan kuat secara tiba-tiba di bilik bersebelahan.
Beliau yang keletihan selepas kerja seharian di kilang berkenaan mendapatkan anak kecil itu dan terkejut dengan keadaan lantai rumah runtuh tetapi lampu elektrik masih bernyala.
"Saya mengambil masa 10 minit cuba bertenang dan kemudian segera memindahkan semua anak dan isteri saya keluar dari pintu utama dengan perlahan-lahan.
"Setelah keluar dari rumah itu, saya tinggalkan isteri dan dua anak saya kira-kira 10 meter dari rumah milik bapa saudara saya yang roboh itu untuk memanggil adik ipar saya bernama Shikin yang tidur di rumah bapa saya tidak jauh dari situ," jelasnya.
Katanya, dalam masa lima minit pula beliau dan adik iparnya segera mendapatkan isteri dan anak-anak beliau dan selepas itu orang ramai mula datang melihat rumah yang roboh itu dan bertanya peristiwa berlaku.
Beliau tidak berupaya menjelaskan peristiwa berlaku kepada mereka ketika itu kerana masih dalam keadaan trauma.
"Bunyi yang amat kuat seperti bunyi gempa bumi berlaku secara tiba-tiba, ia cukup menakutkan dan mencemaskan tetapi al-hamdulillah syukur kepada Allah kerana kami semua selamat," jelasnya lagi.
Rohaimi menambah rentetan dari bunyi yang kuat itu mengakibatkan mereka didatangi jiran tetangga kerana terganggu dengan bunyi bising.
Difahamkan bunyi rumah dipercayai milik KETENGAH itu roboh, boleh didengari sejauh 100 meter dari rumah berkenaan.
Beliau tinggal di rumah itu lebih tujuh tahun lalu dan tidak pernah berlaku perkara yang tidak diingini sebelum ini.
"Saya mendiaminya sejak lebih tujuh tahun lalu setelah sekian lama tidak diduduki kerana ayah saudara memiliki rumah lain selepas pencen kerja dengan Syarikat Permint Plywood," jelasnya.
Semalam, pihak pengurus kilang tempat Mohd Rohaimi bekerja telah melawat beliau sekeluarga dan bersedia memberi apa-apa bantuan untuk memudahkan urusan mereka.