Peniaga Lega Premis Dibenar Beroperasi Sehingga 12 Malam

KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Rata-rata peniaga di negeri ini berasa lega apabila premis perniagaan mereka dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pemilik gerai Arzam Burger, Ahmad Arzam Zakaria berkata, kelonggaran itu memberinya peluang untuk berniaga seperti biasa.

"Legalah apabila diberi kebenaran berniaga sampai pukul 12 tengah malam. Kerana saya peniaga gerai burger sahaja, mula berniaga pada jam 6 petang. Jika dibenarkan beroperasi sampai jam 6 petang tak berniagalah saya. 

"Jika dibenarkan sampai pukul 8 malam atau pukul 10 malam, maka pendapatan saya tidak seberapa," ujarnya ketika ditemui pemberita di gerai burger miliknya, semalam.

Arzam mengakui, semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, sangat memberi kesan terutama kepada peniaga sepertinya.

"Bagi memastikan ekonomi setiap rakyat pulih kembali maka sebagai peniaga yang bergantung harap kepada pendapatan harian, kami menyambut baik apa jua langkah yang dilakukan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19," ujarnya.

Sementara itu, pemilik Bobby's Kitchen, Abdul Hakim Abdul Halim berkata, impak daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu sangat memberi kesan kepada perniagaan kedai makan diusahakannya.

"Sehinggakan Bobby's Kitchen cawangan Kuala Terengganu dihentikan operasi dan yang tinggal hanya di Paka, saya melahirkan perasaan syukur apabila PKPB yang dikuatkuasakan semalam membenarkan operasi perniagaan sehingga jam 12 malam kerana baru hendak tarik nafas lega dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini, kini terpaksa akur kembali kerana menyedari kes yang begitu tinggi saban hari.

"InsyaAllah saya menyambut baik apa jua langkah kerajaan dalam memastikan rakyat kembali hidup seperti biasa.

"Segala syarat yang telah ditetapkan termasuk mengamalkan penjarakan dan juga mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) akan diikuti dengan sebaik-baiknya," ujarnya.