Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Penyokong Terengganu Mahu Nafuzi Kekal
KUALA TERENGGANU, 27 November - Rata-rata penyokong Terengganu FC yang bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim semalam mahu Nafuzi Zain terus diberi kepercayaan menerajui pasukan pantai timur itu.
Salah seorang penyokong, Syed Zulkarnain Tuan Ngah, 31, berkata, jurulatih muda itu perlu diberikan lebih ruang dan peluang bagi mencorakkan skuad yang dibarisi ramai pemain berpotensi.
"Walaupun kalah kita sebenarnya telah menang moral apabila mengikat skuad bintang Harimau Selatan di laman sendiri pada aksi separuh akhir pertama tempoh hari.
"Harus diingat perbezaan antara Terengganu FC dan Johor DT terlalu ketara dan Nafuzi bersama pemainnya telah melakukan yang terbaik sehingga ke tahap ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Sementara itu, Wan Luqman Hakim, 34, berpendapat, Nafuzi memiliki kelebihan menonjolkan bakat-bakat muda Terengganu ke saingan liga tertinggi kebangsaan.
Justeru, beliau merasakan pengurusan Terengganu FC perlu menguruskan segera kontrak jurulatih tersebut yang akan berakhir 30 November ini.
"Jika diuruskan segera, Nafuzi akan dapat lebih masa membentuk pasukan untuk saingan Liga Super 2022.
"Pemilihan pemain import perlu diperhalusi sebaiknya kerana aspek ini turut menjadi masalah kita pada musim ini," katanya.
Dia berharap, Terengganu FC akan lebih mencabar tahun depan dengan perubahan dan pertambahan kualiti di beberapa posisi kritikal.