Perkeso Bantu Bekas Pemain Bola Sepak Terengganu

Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Nasib bekas pemain bola sepak Terengganu era 90-an,  Mohd Fadli Jalil Sulong, 53 yang kini terlantar akibat kencing manis kronik dibantu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dalam kunjungan Skuad Prihatin Perkeso itu, Mohd Fadli didapati layak menerima alatan pemulihan berupa Reclining Wheelchair, Commode Wheelchair, Pampers dan Ripple Mattress.

Pada masa sama akan turut dibekalkan katil perubatan yang akan dihantar terus ke rumah oleh pembekal.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, hasil semakan mendapati Mohd Fadli pernah membuat caruman ketika bersama pasukan bola sepak Terengganu.

Katanya, keadaan itu membolehkan dia menerima pencen ilat sebanyak RM500 sebulan dan alatan pemulihan serta Elaun Layanan Khas untuk penjaga.

“Kelengkapan dan bantuan itu diluluskan tanpa permohonan kerana hasil semakan mendapati  pesakit ini  mempunyai caruman semasa bermain dengan pasukan bola sepak Terengganu pada era 90an dahulu,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di rumah pesakit di Jalan Ibrahim, Bukit Besar Kuala Terengganu, semalam

Hadir menyampaikan sumbangan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah

Sementara itu Mohd Fadli yang mesra dipanggil Weck di kalangan rakan dan peminat bola sepak Terengganu ketika kegemilangannya, berkata dia juga sukar untuk bergerak dan segala urusan dibantu isterinya, Norhayati Alias, 35.

"Saya mengakui rindu untuk turun ke padang, namun terpaksa melupakan keinginan itu disebabkan masalah kesihatan.

"Selepas bersara dari sukan bola sepak pada 1997, saya bersama rakan seperjuangan menubuhkan pasukan futsal.

"Kami sering bersama bermain dan setahun lalu saya kurang aktif kerana menghidap penyakit kencing manis," katanya

Mengimbau saat mula diserang masalah saraf, Weck berkata, ketika kejadian dia bersama isteri sedang menonton televisyen di ruang tamu pada 1 tengah hari, Januari lalu.

"Secara tiba-tiba kedua-dua bahu saya berdenyut dan terlalu sakit serta tidak boleh bergerak. Semalaman saya menahan sakit sehingga tidak dapat tidur," jelasnya.