Peruntukan RM123,000 Bangunkan CBT Daerah Besut
BESUT, 2 November - Kerajaan negeri terus giat membangunkan produk pelancongan berteraskan Komuniti (CBT) di setiap daerah di negeri ini apabila meluluskan peruntukan sebanyak RM123,000 untuk Besut.
Suntikan dana berkenaan bertujuan untuk membantu pengusaha-pengusaha terlibat dalam menambah baik fasiliti sedia ada dan meningkatkan lagi daya tarikan pelancong untuk datang ke daerah terbabit
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata ia melibatkan sembilan lokasi termasuk Pusat Pembuatan Gasing Uri dan Gelanggang Seni Budaya warisan di Kampung (Kg) Gong Guchil, Trek Hiking di Bukit Keluang.
"Sekain itu Bengkel Permainan Gasing Pakoh, Kg. Panchur, Air Terjun Felda Selasih, Kg.Kerandang, Kg.Pondok Batu dan juga dua Homestay terletak di Kg.Kubang Depu dan Kg.Kayu Kelat.
"Setakat ini dua program pengindahan produk pelancongan telah dijalankan secara gotong royong iaitu membersihkan Lata Air Terjun FELDA Selasih dan Gotong Royong baik pulih Bengkel Permainan Gasing Pakoh.
"Hari ini empat lagi program pengindahan produk pelancongan telah dilakukan yang mana hari ini merupakan hari ketiga, bermula dari Pusat Pembuatan Gasing Uri, Gelanggang Seni Budaya Warisan dan Homestay Kg.Kubang Depu.
"Serta majlis perasmian telah diadakan di Homestay Kg.Kayu Kelat. Ini diantara sebagai persedian menerima kedatangan pelancong khususnya menerima pelancong tempatan yang dianggarkan 80 peratus datang ke negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), sempena Program Pengindahan Produk Pelancongan Daerah Besut, di sini kelmarin.
Turut hadir, Pegawai Daerah Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Produk) Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Fathil Abd Ghani, Pegawai Penyelaras DUN Jertih, Wan Azhar Wan Ahmad dan Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Mat Daik Mohamad.
Jelasnya, dengan dimajukan CBT berkenaan ia juga akan turut menjadi pemangkin kepada produk-produk utama yang sedia ada di daerah terbabit.
"Insya-Allah kita akan cuba promosikan lagi lokasi pelancongan yang ada selain dari tempat yang sudah sedia terkenal seperti Pulau Perhentian dan juga Bukit Keluang.
"Jika hendak disebut semuanya terlalu banyak tarikan yang ada di daerah ini untuk diterokai dan dinikmati oleh pengunjung," ujarnya.