Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengadakan program bersama komuniti setempat sebagai program tahunan bagi menjalin hubungan dengan masyarat setempat, serta mendengar keluh kesah komuniti kampung.
Pengurus Kanan Korporat Ketengah, Zainuddin Md Zaki berkata, program itu bakal menjadi platform terbaik untuk mendekatkan diri dengan masyarakat sekitar menerusi pelbagai program yang bermanfaat.
"Pada tahun ini kita adakan program ini dengan mengacau bubur asyura, sempena memperingati hari penting di dalam kalendar umat Islam.
"Di samping itu kita dapat mengetahui apakah lagi pembangunan yang komuniti mahukan dan juga apakah permasalahan mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman di Al Muktafi Billal Shah (AMBS), di sini, 4 Oktober.
Program itu diadakan serentak di Kampung Serdang, Lubuk Lesung dan di AMBS melibatkan Kolej Ketengah dan Pusat Giatmara Ketengah
.
Turut serta, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang mewakili penduduk setempat iaitu MPKK Taman Indah, Taman Madani dan Taman Mulia Selesa.
Zainuddin berharap agar program ini akan dapat merapatkan jurang antara Ketengah dengan komuniti setempat seterusnya merealisasikan hasrat memajukan kawasan luar bandar.
Sehubungan itu, Pengerusi MPKK Taman Indah, Zakiah Alias berkata, program seumpama itu menjadi jambatan penghubung bagi rakyat untuk bersuara mengenai isu semasa dan juga setempat.
"Saya mewakili MPKK berharap agar ianya akan menjadi acara berterusan bagi memberi manafaat kepada komuniti setempat mengadu segala hal permasalahan.
"Ianya juga akan dapat menghubung jalin hubungan yang harmoni ke arah kebaikan dari semasa ke semasa," ucapnya.