Projek Labuhan Tukun RM6.9 Juta

 
Dr Azman (dua dari kiri) bersama Encik Zulkifli (kanan sekali) dan  Haji Zawawi (empat dari kanan) melabuhkan unjam di Perairan Dungun. -Foto Abu Ubaidah Mohd Nor
 
 
Dungun -  Kerajaan Negeri  memperuntukkan sejumlah RM6.9 juta  dalam Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK9) untuk projek labuhan tukun  bagi membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan mereka.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata bagi tahun ini sahaja Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM630 Ribu untuk program tersebut.
 
Katanya, dari jumlah itu sebanyak RM250 Ribu diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri manakala selebihnya (RM380 Ribu) peruntukkan dari Kerajaan Pusat.
 
"Dengan cara ini kerajaan dapat mempertingkat usaha memperkayakan sumber perikanan untuk membantu nelayan pantai meningkatkan hasil tangkapan mereka," jelasnya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Melabuh Unjam di Perairan Dungun di Jeti Kuala Paka di sini 6 September.
 
Dr Azman Ibrahim
 
 
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Haji Zawawi Ali, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Encik Zulkifli Harun, Penolong Setiausaha Kerajaan (Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri), Encik Muhammad Faizan Che Othman, Wakil-wakil Jabatan dan Agensi Kerajaan serta Wakil-wakil Media.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, program tersebut adalah yang kedua selepas kali pertama dibuat di Marang pada 27 Ogos lepas.
 
Katanya, program melabuh unjam di Perairan Paka dibuat di lokasi berhampiran Pulau Tenggol pada jarak kira-kira 4 batu nautika dari Kuala Paka. Sejumlah 40 unjam daun kelapa dan daun gelam berjaya dilabuhkan dengan kos RM250 seunit.
 
"Kos program melabuh unjam pada hari ini, sekitar RM10 ribu dikira rendah kerana kita (kerajaan) mengajak komuniti nelayan Dungun bekerja secara gotong-royong dengan kos untuk membeli peralatan ditanggung kerajaan negeri.
Dr Azman (tengah) melancarkan program labuhan unjam di laut Dungun.
 
"Matlamat kita supaya para nelayan merasakan bahawa unjam ini adalah milik mereka dan mereka bersama bertanggungjawab menjaganya dengan baik," jelasnya.
 
Sebagai makluman, unjam merupakan sejenis peranti pengumpul ikan, buatan manusia yang dibina dari bahan semulajadi seperti pelepah dan daun kelapa, daun pokok rhu, daun teja dan daun kelapa laut yang diikat dengan tali dan kemudiannya dilabuhkan di kawasan perairan laut pesisir pantai.
 
Unjam yang telah disiapkan akan bertahan selama enam bulan di mana struktur unjam itu akan mereput secara semula jadi dan menjadi makanan kepada flora dan fauna yang terdapat di sekitar labuhannya.
 
Peranti tersebut dijangka meningkatkan sumber pendapatan nelayan Kuala Paka dengan anggaran purata hasil tangkapan sebanyak RM300 hingga RM450 sehari dengan kadar RM50 sejam.
 
Dengan adanya program seumpama itu ia diharapkan dapat menambah perolehan hasil tangkapan serta meningkatkan sosioekonomi golongan nelayan pesisir pantai.
 

Tag: