Video Promosi VisitMalaysia2026 Perlu Mencerminkan Majoriti Masyarakat Majmuk
Pulihara Bangunan Lama Sebagai Warisan - Ir Saiful
Oleh: Khalid Abdullah
KEMAMAN, 22 Februari - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran untuk mengenalpasti dan menilai bangunan-bangunan lama yang sesuai dipulihara sebagai bangunan warisan.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata langkah itu perlu untuk pemuliharaan premis berkenaan berasaskan potensi dari segi sejarah dan tarikan pelancong.
"Kita mencadangkan kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) untuk menyelenggara pemuliharaan bangunan mahkamah peninggalan kolonial British ini sebagai tarikan terbaharu kepada pelancong luar dan tempatan," kata Ir Saiful Azmi.
Beliau bersama Pengarah Jabatan Landskap dan Taman Rekreasi MPK, Shamsul Syahiran Mohd Samsudin melawat lokasi berkenaan, berhampiran Pejabat Pos Kemasik, di sini, pada sebelah pagi tadi.
"Kewujudan bangunan dan monumen bersejarah peninggalan British seperti mahkamah dan pejabat kastam(cukai) menunjukkan Kemasik pernah menjadi pusat pentadbiran utama suatu ketika dahulu.
"Peruntukan membaik pulih dan pemuliharaan bangunan bersejarah ini melibatkan peruntukan kewangan yang besar, namun ianya mesti dilaksanakan walaupun secara berperingkat," ujar beliau.
Menurut Ir Saiful Azmi lagi, pelaksanaan projek pemuliharaan ini akan memenuhi transformasi pembangunan dalam bidang sosial dan ekonomi berasaskan sektor pelancongan yang turut memberi manfaat kepada penduduk di sini untuk menghasilkan produk tempatan serta menyediakan inap desa.
"Kemasik mampu menjadi destinasi pelancongan yang banyak menyimpan artifak zaman British pada abad ke-19 yang boleh dijadikan sebagai kajian sejarah dan didokumentasikan bagi tujuan pendidikan," kata beliau lagi.