• 13 Nov 2024 | 11 Jamadil Awal 1446

Rakyat Disaran Amal Langkah Pencegahan Covid-19

KUALA TERENGGANU, 8 Januari – Rakyat Terengganu disaran mengamalkan langkah-langkah pencegahan wabak penyakit COVID-19 supaya tidak merebak kembali.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah memberi amaran agar itu diamalkan.

Katanya, amalan itu merangkumi konsep 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan bersedia dengan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

“Bagi mereka yang belum mengambil suntikan vaksin dan booster disarankan untuk mengambilnya dengan segera dalam masa terdekat.

“Ia bertujuan untuk mendapat perlindungan tambahan dalam menghadapi wabak tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Bicara Soal Semasa Bersama Dato’ Dr Alias Razak di TV Darul Iman baru-baru ini.

Tambah Dr Alias, suntikan tersebut amat penting agar dapat mengawal diri kita daripada mendapat jangkitan yang lebih serius.

Sementara itu, KKM sentiasa memantau perkembangan semasa jangkitan wabak itu di dalam dan luar negara melalui maklumat diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

 


Tag: