KUALA TERENGGANU, 15 April - Kenyataan terbaru Kementerian Kewangan (MOF) berkait pembayaran royalti petroleum atau wang ehsan Terengganu tak sama dengan pendirian asal Perdana Menteri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan beberapa minggu lalu berkisar perkara sebaliknya berbanding pengumuman MOF baru-baru ini.
"Tidak sama dengan yang telah dibincang (lain dibincang lain dibuat).
"Tetapi tak apa, kita cari jalan untuk atasi masalah ini, kita sebenarnya jangka penyaluran terus ke kerajaan negeri untuk baki lebih RM700 juta lagi untuk 2023, baki tahun lepas sebagaimana dibincang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sewaktu Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri MB Terengganu di Pekarangan Kediaman Seri Iman.
Menurut Ahmad Samsuri, kenyataan itu juga jelas menunjukan bayaran royalti Terengganu tidak akan disalur sebagaimana sebelum ini.
"Tidak sama dengan 10-15 tahun lalu, cara penyaluran ke negeri dan kita akan 'adapt' dengan cara ini.
"Ini kali pertama kita berhadapan dengan situasi ini, sebahagiannya kita akan sebut dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir bulan ini," katanya.
Ditanya sama ada Kerajaan Negeri berpuas hati atau tidak dengan kenyataan MOF itu, Ahmad Samsuri berkata semuanya akan dijawab dalam persidangan DUN.
Terdahulu, Ahmad Samsuri menghargai penyaluran wang ehsan bernilai RM172.3 juta Mac lalu oleh Kerajaan Persekutuan.
"Merujuk pada kenyataan media Kementerian Kewangan bertarikh 8 April 2024, berkait dengan pemberian wang royalti (disebut wang ehsan oleh Kerajaan Persekutuan) - ucapan terima kasih daripada pihak pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.
"Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Maaf zahir dan batin," jelasnya yang mengatakan orang ramai bebas untuk membuat apa-apa tafsiran terhadap kenyataan tersebut.