lightning-solid
Berita :
Sahabat Baik Kongsi Suka Duka Bersama Syakirah Hanan
Sahabat Baik Kongsi Suka Duka Bersama Syakirah Hanan
Noraini Jusoh
1 hari yang lepas
262

KUALA TERENGGANU, 6 Januari – Pemergian penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Syakirah Hanan Mazli akibat kemalangan ngeri di simpang empat Jalan Kemajuan, di sini, semalam memberi kejutan buat sabahat baiknya, Nurul Iffah Abdul Jalil,25.

Nurul Iffah menganggap hubungan akrab dengan Syakirah Hanan, 25, ketika bersama-sama menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir bukan sahaja sebagai sahabat, bahkan seperti adik beradik.

“Dia (Shakirah Hanan) seorang yang sangat ceria, sentiasa senyum, suka mudahkan urusan orang. Kalau dia ada terasa hati dengan orang, dia banyak diam dan kadang dia luahkan pada saya tanya apa yang nak kena buat supaya benda tidak berlarutan. 

“Macam dah tersebar dekat media sosial tentang keputusan cemerlang dia, dari tahun pertama lagi dia dapat mumtaz. Kalau dekat Malaysia macam dekanlah. Sampailah ke tahun akhir. Dia bukan berjaya sorang-sorang, tapi dia selalu ajar kami satu kelas kalau ada yang tak faham. Sebab kami semua fikir datang Mesir sama-sama, nak balik pun sama-sama.

“Dalam kelas pun tak malu nak bertanya, pensyarah memang akan ingat dia. Saya duduk sebelah dia dalam kelas. Kalau dekat rumah pun dia memang sangat teratur, belajar tak bertangguh. Selepas subuh, mesti mengaji dulu sekejap baru buat benda lain. Tapi dia memang dikenali sebagai seorang yang pemurah dengan senyuman,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

612446173_33540265318921012_9113164039004796839_n.jpg 266.27 KB


Nurul Iffah turut berkongsi memori suka dukanya bersama Allahyarham Shakirah Hanan sepanjang menuntut di Universiti Al-Azhar dan yang paling tidak dapat dilupakan ketika mereka berjaya meraikan hari graduasi bersama-sama.


“Terima kasih Allah yang Maha Baik kerana telah pinjamkan anugerah dan sahabat yang baik solehah seperti Syakirah Hanan. Terima kasih juga buat yang mendoakan dan sebarkan segala yang baik-baik.

“Nak cakap tentang kebaikannya, memang tidak tertulis. Bila saya memerlukan, dia sentiasa ada untuk menghulurkan tangan. Hakikatnya, dia banyak memudahkan urusan saya dan orang sekeliling. Ada juga minat dan persamaan yang kami ada contohnya bila dia tengok saya pakai tudung cantik, dia pun nak beli tudung yang sama. Begitu juga saya.

“Paling saya takkan lupa sewaktu graduasi, keluarga Syakirah tidak dapat datang sebab beliau pun balik sekejap ke Malaysia dan datang balik ke Mesir. Pada hari graduasi, umi saya sempat betulkan selempang dan kemaskan baju Syakirah, saya bagi dia kesempatan bergambar berdua dengan umi dan abah saya. Dia cakap, Iffah, terima kasih sangat bagi aku bergambar dengan mak ayah kau, aku gembira sangat. Dapatlah aku rasa macam keluarga aku ada kat sini,” luah Nurul Iffah.

Katanya, selepas pulang ke tanah air, mereka berdua hanya berkesempatan berhubung melalui aplikasi Whatsapp mengenai perkembangan masing-masing. 

Sebelum ini, Allahyarhamah telah menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir, sebelum menyambung Diploma Lepasan Ijazah (DPLI) dalam bidang Pendidikan Islam di UniSZA sejak tahun lalu.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar UniSZA maut selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya dirempuh sebuah Honda Jazz dalam kemalangan terbabit.





Tag :

Artikel Berkaitan