KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Sambutan ambang awal Muharram disambut secara sederhana di Masjid Abidin (Masjid Negeri) dengan memperkenalkan suatu pendekatan yang berbeza pada kali ini melalui Selawat 'Tafrijiyyah'.
Ketua Eksekutif Masjid Abdin, Wan Mohd Hazim Wan Mohd Hashim berkata pemilihan selawat berkenaan adalah kerana ia memiliki keistimewaan tersendiri di samping memiliki pengertian yang sangat baik untuk memohon kepada Allah agar dilepaskan daripada wabak pandemik Covid-19 dan juga dihindari daripada perasaan keluh kesah.
"Ia memberikan suatu kombinasi yang sangat hebat, antara doa, beristighfar dahulu selepas solat, maka kata ulama gabungan ini menjadi sesuatu yang sangat baik untuk berharap dan mengadu kepada Allah SWT agar diamakbulkan segala hajat.
"Pendekatan ini diambil bukan kerana selawat yang biasa kita amalkan tidak baik, tetapi kebetulan malam ini merupakan malam yang sangat istimewa sebagai suatu permulaan untuk bermunajat kepada Allah SWT.
"Selain daripada berusaha melalui pengambilan vaksin, pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP), kita juga perlu sedar adanya hubungan dengan Allah SWT melalui ibadah kita.
"Kerana itu pada malam ini (semalam) di samping solat secara berjemaah dan berdoa, turut dibuat kelainan melalui selawat ini, selepas solat Isyak dengan diulang sebanyak tujuh kali agar jemaah yang hadir dapat membacanya dengan lancar juga dapat menghayatinya dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Program Sambutan Ambang Awal Muharram 1443 Hijriah, di sini, semalam.
Mengulas lanjut mengenai program yang diadakan itu katanya, meskipun berada dalam suasana diancam pandemik Covid-19 dengan kebenaran jemaah hadir mengikut keluasan masjid, ia tetap mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
"Perjalanan program yang telah diatur sangat baik dengan agenda yang telah disusun bermula sebelum maghrib dengan bacaan Surah Al-Fath secara taranum oleh Qari negeri iaitu, Ustaz Abdul Hadi Che Ab Halim, juga mengaminkan doa akhir tahun yang dipimpin oleh Imam Khas Masjid Abdin, Syeikh Mohamed Abdel Hamid Kulaib Al-Azhari.
"Kemudian selepas solat Maghrib diteruskan lagi oleh Syeikh Mohamed Abdel dengan bacaan doa awal tahun dan diteruskan tawajjuh melalui surah Yassin dipimpin oleh saya memohon agar kita semua diberikan perlindungan daripada wabak yang sedangan kita hadapi pada hari ini," ujarnya.
Beliau turut berharap agar bulan berkenaan menjadi suatu titik permulaan untuk menjani kehidupan yang lebih baik dengan meningkatkan amalan dan ketakwaan.
Di samping mendoakan agar wabak ini akan segera berakhir serta masyarakat di negeri ini akan kembali menjalani kehidupan secara normal.