KUALA TERENGGANU, 7 September - Menanam perasaan cinta terhadap tanah air sejak kanak-kanak lagi adalah sangat penting agar mereka bangga dan sayang kepada watan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, program perarakan Kemerdekaan dan Maal Hijrah anak-anak taska dan tadika adalah sangat bermanfaat.
“Daripada kecil lagi kita mendidik anak-anak kita dengan semangat patriotik ataupun cintakan negeri kita.
“Kita memupuk perasaan bangga menjadi rakyat Malaysia sekaligus bangga menjadi rakyat negeri Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program perarakan Kemerdekaan dan Maal Hijrah taska dan tadika swasta negeri Terengganu di Batu Buruk dekat sini, kelmarin.
Oleh itu kata beliau, sifat mulia itu akan berkesan dan membekas dalam diri mereka apabila mereka membesar dan meningkat dewasa kelak.
“Mereka ada jati diri yang baik dan mereka ada perasaan bangga serta sayang kepada negeri mereka sekali gus mereka akan melibatkan diri dalam masyarakat dan program yang bermanfaat,” jelas beliau.
Justeru itu, beliau menyokong penuh program tersebut dan berharap ia dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.