KUALA TERENGGANU, 24 November – Kerajaan negeri sentiasa melibatkan beberapa Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Terengganu Agrotech Development Corp Sdn. Bhd. Syarikat (TADC), Ladang Rakyat dan Kumpulan TDM Berhad dalam mempergiatkan lagi sektor serta infrastruktur pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, TADC sedang giat mengoptimumkan penggunaan aset-aset seperti Reban Ayam Tertutup Bukit Lawang, Setiu, dan Projek Pilot Contract Farming Penanaman Rumput Napier.

“Sebagai contoh, hasil kerjasama TADC dengan pengusaha ayam kampong MARDI pula sehingga dari Ogos sehingga kini, sebanyak 12,000 ekor ayam telah mula diternak untuk dijadikan baka bagi tujuan penetasan.

“Selain itu, TADC turut memajukan pusat pembenihan ikan di Setiu dan pilot projek kontrak penanaman napier dua ekar dimana hasil pertama sebanyak 5.8 tan yang bernilai RM1200 dengan harga RM200 per metrik tan dijual boleh menjana sumber pendapatan tambahan dengan penjagaan minima.

“GLC tersebut turut berperanan menyelesaikan isu pemasaran hasil pertanian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pembukaan pasar borong di Telaga Papan, katanya ketika sesi soalan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini,” katanya.

Menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Dr Azman berkata, TDM pula terlibat dalam penanaman nenas MD2 sebanyak 500,000 pokok yang ditanam secara integrasi dengan ladang sawit belum matang di Jerangau.

“Ladang rakyat turut telibat dengan penternakan lembu baka Kedah Kelantan dalam lingkungan 2,000 ekor.

“Insya-Allah dengan peranan GLC Terengganu tersebut merealisasikan pelan besar bagi menjadikan Terengganu sebuah negeri pengeluar makanan,” katanya lagi.


Tag: