Lebih 2,000 rakyat negeri ini menyertai majlis solat hajat, bacaan Yassin dan doa selamat sempena Ulang Tahun Ke- 56 Hari Keputeraan Sultan Mizan Zainal Abidin,di Masjid Al-Mukhtafi Billah Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman. Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), W. Ismail Sahaimi W. Omar.
Majlis dimulakan dengan solat hajat memohon kesejahteraan Sultan Mizan yang menaungi negeri Darul Iman ini.
Seterusnya, hadirin mengalunkan bacaan Yassin dipimpin imam besar negeri, Ustaz Aizi Saidi Abd Aziz sebelum diakhiri dengan doa selamat serta solat Isyak.
Di akhir majlis, Ahmad Razif yang hadir bersama mantan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga calon Barisan Nasional Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail sempat menjamu selera dan beramah mesra bersama masyarakat setempat.