Subsidi 150 Juta Diberi, Kebajikan Pesawah Masih Tidak Terbela?

KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan telah mengumumkan penyediaan subsidi RM150 juta dalam tempoh 6 bulan untuk mengekalkan harga beras tempatan RM2.60 namun dilaporkan ia masih belum mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi pesawah. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim mempersoalkan pihak manakah yang menerima banyak manfaat melalui penyediaan subsidi RM150 juta yang sepatutnya menghasilkan 24 juta kampit beras.

"Kepada siapakah subsidi ini akan dibayar? tentu sekali bukan kepada pesawah. Mereka yang mendapat manfaat daripada RM150 juta ini ialah pihak kartel industri yang sebelum ini telah mengaut keuntungan daripada manipulasi beras tempatan kepada beras import.

"Sebelum ini mereka telah mendapat untung yang besar dan sekarang mereka juga yang untung besar," ujarnya ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, semasa Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Dr. Azman berkata sehingga kini derita pesawah yang menanggung beban akibat kenaikan kos pengeluaran masih kekal tidak terjawab.

"Beras tempatan yang dijanjikan akan ada di pasaran masih malu-malu untuk munculkan diri," katanya.

Tegasnya, selama ini beliau mengikuti dengan sangat teliti setiap penjelasan dari Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengenai penyelesaian terhadap isu beras yang melanda negara kebelakangan ini termasuk harga lantai padi yang dinaikkan.

"Ketika harga lantai padi RM1,300 per tan pada musim lepas, rata-rata kilang padi sudah membeli dengan harga melebihi RM1,500 per tan. Bagi musim kedua tahun 2024 purata harga padi di kilang-kilang padi di Terengganu ialah RM1,550 per tan.

"Di beberapa negeri lain, harga belian padi sudah mencecah antara RM1,800-RM2,000 bagi setiap tan.

"Berdasarkan senario trend pembelian padi dan pasaran beras sebelum ini, saya boleh menjangkakan pengumuman harga lantai padi RM1,500 per tan tidak banyak memberikan impak kepada pemain industri ini terutama pesawah kerana faktanya padi sudah dibeli melebihi paras harga lantai,"jelasnya.

Dalam pada itu beliau mempersoalkan siapa yang memainkan peranan sehingga beras tempatan lenyap terus dari pasaran.

"Faktanya ialah, pihak kartel industri yang menukar beras tempatan menjadi beras super import telah meraih keuntungan yang sangat lumayan atas beban yang dipikul oleh pesawah, rakyat dan pengguna," ujar beliau.