PUTRAJAYA, 18 September- Pendayung wanita Terengganu, Syahida Asyiqin Rusli, 18, berjaya merangkul pingat emas dalam acara kanu K1 1,000M wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN, hari ini.
Lebih manis, Syahida yang membuat penampilan pertama di pentas SUKMA berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan masa 4.24.294 saat, mengatasi rekod 4:49.430s milik Nor Azita Ibrahim yang dilakukan pada SUKMA 2014 di Perlis.
Jurulatih kanu Terengganu, Mohd Azlan Ibrahim, 32 berkata, pasukannya beraksi cemerlang pada hari pertama sukan tersebut berlangsung.
"Untuk hari ini, kita melepasi sasaran untuk meraih satu emas yang mana kita berjaya dapat satu emas, dua perak dan tiga gangsa.
"Kalau ikutkan, kami masih memiliki peluang untuk mengejar sasaran tiga emas melalui acara 500M serta 200M yang akan berlangsung esok dan lusa," katanya.
Selain Syahida, Terengganu turut beroleh pingat melalui K4 1,000M wanita dan lelaki (perak).
Manakala, acara K2 1,000M wanita dan lelaki serta K1 1,000M lelaki menghadirkan gangsa.
Dalam pada itu, enam acara yang dipertandingkan tadi menyaksikan enam rekod kebangsaan lebur dengan Johor mendominasi lima pingat emas.