Pertanian Terengganu Tumbuh Positif, Raih Pujian Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU, 14 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memastikan sektor pertanian kembali mencatat pertumbuhan positif pada tahun 2023, setelah mengalami penguncupan selama tiga tahun sebelumnya.

Sektor pertanian merupakan salah satu tunjang utama pertumbuhan ekonomi Terengganu dan memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan makanan.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atas usaha berterusan memperkukuh sektor ini menerusi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bersama Kerajaan Negeri.

"Inisiatif strategik ini bukan sahaja memastikan kestabilan dan keselamatan bekalan makanan negara, malah turut sejajar dengan sasaran Self-Sufficiency Ratio (SSR), sekali gus memperkasa daya saing sektor pertanian," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas.

Titah Sultan Mizan, bagi meneruskan kesinambungan serta memastikan sektor pertanian terus berdaya saing, Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030. 

"Pelan ini menggariskan enam teras utama sebagai panduan ke arah pembangunan sektor pertanian negeri yang lebih mampan dan inovatif.

"Beta berharap agar pelan strategik ini menjadi pemangkin kepada transformasi besar dalam memodenkan sektor pertanian, memperkukuh rantaian nilai serta pemasaran, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan para petani," titahnya.

Baginda juga menaruh harapan tinggi agar setiap strategi dan program yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus meningkatkan kadar sara diri bagi setiap subsektor hingga 20 peratus berbanding tahun 2023 serta mendorong pertumbuhan KDNK sektor pertanian sehingga 12 peratus menjelang tahun 2030.

"Seiring dengan pelaksanaan pelan ini, Beta menyarankan agar projek pertanian berskala komersial dengan pelbagai tanaman komoditi dipergiatkan.

"Usaha ini bukan sekadar mengukuhkan rantaian bekalan makanan negara, tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, serta memastikan keseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar," titah baginda.