Pengerusi ASEAN Buka Ruang Terengganu Tarik Pelancong

KUALA TERENGGANU, 14 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, Malaysia telah diberi penghormatan sebagai Pengerusi Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), sekali gus membuka ruang yang luas bagi Negeri Terengganu untuk mempromosikan keindahan serta keunikan sektor pelancongannya kepada para pelancong dan delegasi antarabangsa. 

Titah baginda, kejayaan ini turut diperkukuh dengan pencapaian cemerlang Negeri Terengganu pada tahun 2024, apabila negeri ini mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, mengatasi sasaran asal sebanyak 4.5 juta pelancong yang menjadi bukti kukuh terhadap daya tarikan serta pesona negeri ini. 

"Sebagai persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, pelbagai acara pelancongan telah dirangka termasuk tumpuan kepada penyelenggaraan serta pemerkasaan produk pelancongan. 

"Usaha ini amat penting bagi memastikan Negeri Terengganu terus kekal sebagai destinasi pelancongan unggul yang bukan sahaja menarik tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa," titah baginda. 

Sultan Mizan bertitah, Calendar of Events Terengganu 2025 telah menetapkan tiga acara utama, iaitu Program Candat Sotong, Pelita Raya Terengganu dan Karnival Pantai Terengganu, sebagai acara tahunan berprestij yang menghimpunkan penyertaan dari dalam dan luar negara. 

"Beta yakin bahawa penganjuran acara ini bukan sahaja dapat memperkukuh identiti negeri sebagai destinasi pelancongan, malah turut memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat. 

"Selain itu, Beta turut dimaklumkan mengenai penganjuran Cycling Tour (ASEAN Solidarity) 2025 yang akan berlangsung Terengganu pada bulan Ogos ini yang merupakan sebahagian daripada program di bawah kluster ASEAN Social Cultural Community, diyakini mampu mengangkat Negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia serta memperkukuh jaringan Kerjasama serantau," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan bertitah Pasar Payang merupakan destinasi pelancongan ikonik yang begitu sinonim dengan Negeri Terengganu, selain berperanan sebagai nadi ekonomi serta pusat kebudayaan masyarakat setempat.

"Dengan siapnya projek pembinaan Pasar Payang baharu, kemudahan yang lebih selesa kini ditawarkan kepada para peniaga untuk memasarkan pelbagai hasil kraf tangan, termasuk songket, batik, serta aneka makanan tradisional yang menjadi Kebanggaan negeri.

"Pasar Payang bukan sekadar pusat perdagangan, tetapi juga lambang keunikan dan wariaan budaya kita yang perlu terus di pelihara," titah Sultan Mizan.

Baginda bertitah, pihak berwajib diharap memainkan peranan yang sewajarnya dalam memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa diselenggara dengan baik. 

"Dengan usaha berterusan, Pasar Payang akan terus kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi yang berdaya maju kepada para peniaga," titah baginda.

Sultan Mizan bertitah, bagi memastikan sektor pelancongan negeri terus berkembang pesat, baginda berharap kerajaan negeri dapat meneroka serta memperkayakan lagi produk pelancongan baharu yang berdaya saing dan berpotensi menarik perhatian pelancong seluruh dunia.