Dr Azman melabuhkan tukun bersama jabatan perikanan. |
Foto : Fahmi Izzuddin
SETIU, 6 September - Kerajaan Terengganu akan terus memperbanyakkan program untuk memperkaya sumber perikanan demi kelangsungan dan penambahan hasil para nelayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, labuh unjam atau tukun akan memberi manfaat khususnya kepada nelayan yang menangkap ikan dalam kawasan lima batu nautika dari pesisir pantai.
Ujarnya, manfaat tersebut akan lebih dirasai oleh para nelayan apabila tibanya musim tengkujuh.
Ujarnya, manfaat tersebut akan lebih dirasai oleh para nelayan apabila tibanya musim tengkujuh.
“Kalau tahun ini satu daerah satu program, insya-Allah untuk tahun hadapan dalam bajet 2020 kita cuba untuk tingkatkan satu kali ganda supaya menjadi satu daerah dua program unjam atau tukun.
“Ia akan dibuat secara berterusan dan dibantu penguatkuasaan undang-undang di laut. Kita yakin sumber perikanan akan dipulihkan sedikit demi sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Pelancaran Program Melabuh Unjam Negeri Terengganu 2019 di Pengkalan Nelayan Rhu 10, semalam.
Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri, Zawawi Ali, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bahri Abdul Rahman.
Tambah beliau, pada tahun ini Pulau Redang merupakan lokasi terakhir bagi program melabuh unjam dan tukun.
“Unjam komuniti melibatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri, Jabatan Perikanan dan Persatuan Nelayan setempat. Kos peralatan, bahan-bahan, kos majlis ditanggung oleh Jabatan cuma nelayan turun bergotong-royong supaya menganggap bahawa unjam adalah hak mereka.
“Dengan unjam ini, ada tempat untuk mereka menangkap ikan. Sekiranya berlaku perubahan cuaca para nelayan boleh balik terutama di musim tengkujuh,” katanya.