Tajaan TDM Suntik Semangat TSG Cabar Kejuaraan

KUALA TERENGGANU, 17 Januari - Tajaan TDM Berhad untuk Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mampu menyuntik semangat pasukan terbabit merebut kejuaraan pada tahun ini.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM yakin pasukan bertaraf benua tersebut mampu mengekalkan momentum kejayaan dan mengungguli kedudukan di peringkat dunia.

"Perkara ini juga akan menjadi satu peluang promosi dalam sektor pelancongan sukan buat KMI Healthcare, selari dengan penjenamaan identiti baharu dan perkembangan perniagaan yang dijalankan oleh TDM.

"TDM meletakkan keyakinannya terhadap barisan pelumba dan keupayaan TSG untuk menempa kejayaan sulung di 'Tour of Sharjah' yang dijangka bermula pada 28 Januari nanti," ujarnya ketika ditemui dalam majlis memperkenalkan barisan pelumba dan penaja baharu TSG di Hotel Primula baru-baru ini.

Majlis memperkenalkan pelumba dan penaja TSG.

Menurut Najman, kerjasama tersebut merupakan satu kejayaan buat TDM dalam merintis penglibatan dalam sektor sukan dan perubatan sekali gus menjadi saluran promosi strategik.

"Peluang kolaborasi bersama TSG dan barisan pelumba basikalnya dapat dijana dalam usaha mendorong gaya hidup sihat melalui penjagaan kesihatan yang baik," ujarnya.

Jelas Najman, hospital syarikat menawarkan pelbagai perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dan berpatutan, lengkap dengan kemudahan terkini yang disokong oleh barisan pakar perubatan berkemahiran tinggi.

"KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMIKT) misalnya dilengkapi dengan Pusat Fisioterapi dan Pemulihan serba lengkap yang dapat memberi manfaat kepada para pelumba basikal, atlet professional dan peminat sukan dalam memulih dan mengekalkan mobiliti, fungsi serta kesejahteraan tubuh badan.

"Pihak syarikat berhasrat untuk mengetengahkan kemudahan ini bersama perkhidmatan penjagaan kesihatan lain kepada orang ramai," katanya.

Untuk Rekod, KMI Healthcare menguruskan lima hospital pakar mesra komuniti iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Center, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kelana Jaya Medical Centre, KMI Taman Desa Medical Centre dan KMI Tawau Medical Centre.


Tag: