Tak Salah Ternak Lembu
KEMAMAN, 11 Oktober - Minat yang mendalam dengan bidang penternakan membuatkan seorang anak muda sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat swasta dan kini memberikan sepenuh masa dan tumpuan dalam bidang penternakan lembu.
Ahmad Safwan Syukri Saderi, 23, yang tinggal di Kampung Geliga Pantai mula menceburi bidang penternakan lembu sejak Februari 2018.
Safwan berkata pada mulanya dia membeli seekor lembu betina daripada rakannya. Setelah itu dia mula merasakan minat dan melihat potensi dalam bidang ini dan mula membeli beberapa ekor lembu lagi. Sejak daripada itu, lembunya semakin bertambah.
"Setakat ini hanya saya saja yang menternak lembu di kampung ini. Saya ingin membuktikan kepada remaja dan orang sekeliling di mana bidang penternakan seperti ini mampu menjana pendapatan yang lumayan untuk jangka mangsa panjang.
Penjagaan lembu ini sebenarnya sangat mudah. Ianya tidak seperti menternak binatang lain seperti kambing dan lain-lain yang lebih sukar dan memerlukan lebih tumpuan dalam beberapa perkara," ujarnya.
Apabila ditanya, tidak malukah memilih kerjaya ini, beliau mengingatkan kepada golongan muda agar tidak perlu malu untuk memilih bidang penternakan seperti ini.
"Buanglah sifat malu. Saya sangat menggalakkan anak muda yang masih mengganggur, agar menceburi bidang perternakan seperti ini. Marilah kita sama-sama majukan bidang penternakan yang juga merupakan salah satu cabang di bawah skop pertanian," katanya lagi.
Anak sulong daripada lima adik-beradik ini turut menerima banyak tunjuk ajar dan khidmat nasihat daripada Jabatan Veterinar Kemaman. Beliau juga telah menerima sumbangan sebuah kenderaan roda tiga daripada Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid untuk memudahkan urusannya mengangkut rumput untuk makanan lembu dan sebagainya. Beliau juga pernah menerima sumbangan dan tajaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat bagi membina pagar kandang lembunya itu.
Beliau turut berharap dan berazam suatu hari nanti dapat memperbesarkan lagi penternakan lembu yang beliau usahakan sekarang ini.
"Sekarang ini kita lebih banyak 'import' lembu dan saya juga berharap suatu hari nanti saya dapat menjadi salah seorang penternak yang mampu bersaing di pasaran dan memenuhi permintaan daging lembu di dalam negara kita ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kandang lembu miliknya itu, baru-baru ini.