Tarik Peminat Basikal Lajak Kepada Program Berbasikal Secara Sihat



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 3 September- Anak muda yang gemarkan aktiviti 'basikal lajak' digalakkan menyertai gabungan komuniti basikal yang lebih sihat, diiktiraf serta tidak mengundang bahaya kepada diri.

Atas tujuan itu, Majlis Kayuhan Basikal Ambang Merdeka telah berlangsung di Medan Arena Square, Dungun, baru-baru ini.

Pengarah program berkenaan, Mohd Safwan Mohd Zaid berkata, secara tidak langsung program itu dapat mengurangkan aktiviti basikal lajak walaupun tidak dapat  dibanteras sepenuhnya.


"Sebab kita di Dungun ini banyak 'team' basikal lajak, dan kita seboleh-bolehnya nak elakkan ianya dari berterusan.

"Jadi, sempena kemerdekaan ini kita membuat keputusan mengadakan aktiviti mengumpulkan seluruh peminat basikal dan mengadakan program kepada masyarakat bagi mendatangkan faedah," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kayuhan itu diadakan.

Menurutnya Kayuhan Ambang Merdeka itu telah disertai oleh 400 orang peminat sukan berkenaan, dimana perasmian pembukaannya telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Shukairi Wan Abdullah.

Ianya merupakan anjuran bersama diantara pihak Department Art anda Culture Sport (DACS), Peminat Pacuan Empat Roda (PADAT) dan Geng Basikal Dungun (GBD).


Tag: