TDM Berhad Dan 200 Sukarelawan Laksana Misi Pasca Banjir di Dungun

KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Peka dan cakna dengan kesukaran mangsa bencana di Kampung Pasir Raja, anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”) bersama-sama 200 sukarelawan menjayakan program Misi Bantuan Pasca Banjir di Hulu Dungun baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin, berkata sebagai warga korporat yang prihatin, pihaknya sentiasa berusaha untuk memberi impak positif kepada komuniti dalam melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di mana keutamaan Syarikat bukan sahaja diberikan kepada operasi tetapi juga kebaikan komuniti setempat.

Katanya, TDM berganding bahu bersama-sama pasukan dari Golden Pharos Berhad, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Majlis Perbandaran Dungun dan Pembinaan Tetap Teguh Sdn Bhd (PTT) turun menjayakan misi pasca banjir  di Pasir Raja, Dungun.

"Itulah menjadi penggerak utama kami selain aktiviti khidmat mencuci rumah ke rumah, kami turut menyampaikan sumbangan dalam bentuk bakul makanan keperluan harian dan wang tunai kepada penduduk terkesan yang terdiri daripada warga emas dan golongan miskin.

"Kami berharap bantuan yang dihulur dapat meringankan emosi yang ditanggung setelah mengalami kerosakan harta benda di depan mata mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Banjir gelombang keempat yang bermula 23 Januari lalu menyaksikan Dungun menjadi daerah yang paling terjejas.

Ia susulan banjir besar yang berlaku pada 25 Januari lalu di daerah berkenaan menyebabkan tiga buah rumah hanyut dan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun.

Kejadian itu disifatkan bencana terburuk pernah dilalui mereka dalam tempoh 60 tahun di kampung berkenaan.

 


Tag: