TDM Bina Jambatan Sementara Di Jenagor

KUALA TERENGGANU, 14 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengaturgerak lima pegawai dan 64 anggota bagi membina jambatan sementara di Kampung Jenagor bagi laluan ke Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM), Tasik Kenyir.

Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri berkata, ‘Compact Bailey 200’ (CB200) sepanjang 30 meter dibina bagi menggantikan jambatan sedia ada yang runtuh akibat banjir bulan lepas.

“Jambatan yang runtuh itu merupakan satu-satunya jalan darat yang menghubungkan pekerja dan pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke kawasan SJSM dan kini mereka terpaksa menggunakan bot sebagai alternatif.

“Kerja pemasangan ini telah bermula pada 12 Mac dan dijangka siap pada esok (14 Mac),” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Skuadron Ketujuh Rejimen Askar Jurutera Darat (7 Skn RAJD) dari Kem Desa Pahlawan dibantu oleh Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Darat (1 Skn RAJD) dan pasukan 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) terlibat dalam membina jambatan CB200.

Projek pemasangan jambatan TDM melalui Projek Jiwa TD selari dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-28 iaitu “Peningkatan Hubungan TD dengan Awam” yang memfokuskan kepada peningkatan hubungan dan kerjasama antara TD dan masyarakat awam.

Foto: Tentera Darat Malaysia


Tag: