Terengganu FC Tewas 0-1 Kepada JDT



KUALA TERENGGANU, 22 September- Skrip sama! Kali ini, Terengganu Football Club (TFC) pula tewas tipis 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Suku Akhir Pertama Piala Malaysia 2019, di gelanggang sendiri, semalam.

Beraksi di hadapan 11,250 penyokong, Sang Penyu lebih banyak bermain di kawasan sendiri berbanding menggasak lawan. Sebaliknya, JDT nyata mendominasi penguasaan bola seawal minit pertama dengan serangan bertali arus.

Gol tunggal perlawanan diperolehi pelawat pada minit ke-22 melalui rembatan kencang Diogo yang berjaya melepasi kawalan Serhii Andrieiev selepas menerima bola hantaran Safawi Rasid.
Pemain JDT meraikan gol kemenangan mereka.

Pada separuh masa kedua, Terengganu FC masih tidak dapat mengatasi JDT walaupun memasukkan Abdul Malik Mat Ariff dan Rahmat Makasuf bagi menambah 'sengat'.

Harimau Selatan hampir-hampir menambah jaringan pada minit ke-53, namun sepakan leret Safawi yang melepasi kawalan Wan Muhammad Azraie diselamatkan Nasrullah Hanif Johan tepat di depan gawang.

Tuan rumah pula cuba menyamakan kedudukan, bagaimanapun rembatan Sanjar Shaakhmedov ditepis penjaga gol lawan, Farizal Marlias pada minit ke-64.

Memasuki minit ke-72, Safawi sekali lagi berpeluang menjaringkan gol setelah berjaya menggelecek Wan Azraie, tetapi rembatannya hanya menggegarkan sisi gawang. Keputusan perlawanan kekal sehingga tiupan wisel penamat.
Nafuzi mahu pemain terus berjuang di Larkin.

Pengendali sementara Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui kekalahan tersebut dan menyifatkan beraksi menentang JDT bukan perkara yang mudah.

"Tetapi, pemain saya berusaha keras dan bermain dengan baik.

"Cuma, perbezaan yang ketara adalah kualiti pemain. Tidak dinafikan, mereka mempunyai pemain-pemain tempatan yang terbaik di negara ini manakala, pemain import lawan juga memiliki kualiti berbeza," katanya ketika sidang media selepas perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, Nafuzi tidak mahu mengangkat 'bendera putih' terlalu awal.

"Saya positif walaupun ketinggalan 1-0. Kita masih ada satu perlawanan di Larkin untuk menang walaupun banyak pasukan sukar untuk meraih mata di sana.

"Dalam bola sepak kita kena percaya dan berusaha sebaik mungkin, selebihnya takdir yang akan menentukan akhirnya," katanya.




Tag: