Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
Kerajaan negeri akan terus istiqomah dalam meningkatkan usaha mengembangkan syiar islam di Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata penyusunan segala dasar dan perancangan berpandukan kerangka Maqasid Syariah yang mementingkan pemeliharaan lima aspek manusia.
"Lima aspek iaitu Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan harta menjadi pegangan..inilah usaha dan iltizam kita sebagai kerajaan yang amanah dan bertanggungjawab dahulu sehingga sekarang.
"Ini dapat kita lihat dalam perkembangan mutakhir yang menampakkan minat dan kecenderungan masyarakat islam di negeri ini yang semakin meningkat dalam mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hal ehwal agama islam
"Sebab itu, kerajaan negeri melalui pembentangan Bajet Terengganu 2018 baru-baru ini telah menggariskan beberapa titik sentuhan yang menjurus ke arah usaha meningkatkan syiar islam di Terengganu,"kata Ahmad Razif ketika merasmikan Majlis pembukaan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Tahun 1439H/2018M di Dataran Waterfront Kuala Berang.
Tambahnya lagi, tema sambutan pada tahun ini, ' Kesatuan Ummah, Kesejahteraan Negara' jelas menunjukkan bahawa islam amat mementingkan kesatuan dan perpaduan ummah yang merupakan kunci kesejahteraan dan keamanan negara bangsa.
"Sesungguhnya perpaduan bukanlah kata-kata yang bersifat retorik, perpaduan juga bukan tuntutan politik tetapi perpaduan adalah perintah Allah SWT, " ujarnya lagi.
Seramai tiga qari dan tiga qariah memperdengarkan bacaan masing-masing, malam ini.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang, khamis ini.