Terengganu Sasar Jadi Pengeluar Utama Susu Segar

KUALA TERENGGANU, 21 September – Terengganu bakal memperluaskan sektor industri susu segar melalui kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sejajar dengan sasaran untuk menjadi pengeluar utama produk tenusu di Malaysia.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara terbabit telah dibincangkan melalui pertemuan kerja bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Mersing, baru-baru ini.

“Saya telah menghadiri satu sesi taklimat tentang agrofood@ECER dan Pembangunan Mampan di kepulauan ECER yang telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat.

“Dalam pada itu, ECERDC telah menandatangani Perjanjian Kerjasama untuk membangunkan projek Lembah Tenusu Jamaluang (JDV) untuk mewujudkan dan memperkembangkan industri tenusu di negara kita yang melibatkan beberapa buah negeri termasuk Terengganu,” katanya menerusi ciapan di Facebook rasminya.

Sementara itu, Baidzawi menjelaskan, JDV adalah salah satu komponen Lembah Tenusu ECER yang dirancang oleh ECERDC bagi mewujudkan industri tenusu yang cekap dan mampan merentasi ECER, di Setiu, Terengganu, Pahang Barat, Lojing, Kelantan serta Jemaluang, Mersing.

“Ini bertujuan meningkatkan Tahap Mampu Diri (Self-sufficiency Level – SSL) susu segar di negara ini sebanyak 40% bagi mengurangkan kebergantungan kepada susu import.

“Matlamatnya adalah untuk membangunkan rantaian nilai yang kukuh merangkumi aktiviti huluan dan hiliran, termasuk pembangunan pusat-pusat pemprosesan susu.

“Dengan cara ini, ECERDC menyasarkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan juga peluang keusahawanan dalam industri tenusu sebagai Peladang Satelit, pengedar dari rumah, dan pembekal makanan haiwan,” tambahnya.