Teruskan Perjuangan Tegakkan Islam
Oleh: Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 1 September - Kemerdekaan tidak bermakna jika Islam masih tidak mendapat pembelaan dan tempat sewajarnya malah kebebasan Islam dan umatnya masih lagi terhalang.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, berkata, Islam dipersenda-sendakan dan Nabi Muhammad S.A.W dihina dengan pelbagai bentuk karikatur.
"Perjuangan nenek moyang kita telah dicarik-carikkan dan kita orang Melayu beragama Islam mesti meneruskan perjuangan mereka untuk kembalikan Islam berada di tempatnya,"
Alias berkata demikian ketika berucap di Program Street Dakwah anjuran Institut Modal Insan Terengganu (i-MiTS) DUN tersebut di tapak Pasar Malam Taman Rakyat Jaya di sini, baru-baru ini.
Street dakwah tersebut merupakan program belia dan beliawanis i-MiTS untuk memberi kesedaran dan melahirkan semangat patriotik cinta negara di kalangan orang muda dengan pelbagai slot iaitu kuiz Sayangi Malaysiaku, mengedarkan bendera Malaysia dan busker lagu-lagu patriotik.
Beliau juga berharap kemerdekaan kali ke -62, keharmonian yang dikecapi akan berkekalan tanpa diganggu gugat dengan sentimen beragama dan amalan rasis.
"Jangan kita biarkan peristiwa sebelum merdeka berulang di mana komunis menguasai negara dan banyak nyawa terkorban.
"Alhamdulillah, pemerintahan Terengganu yang ada sekarang, kerajaan yang sentiasa berusaha untuk melaksanakan kebajikan kepada rakyat, kita mesti kekalkan," ujarnya.