TLHT Naib Juara Liga Hoki Wanita Malaysia 2020
Pasukan TLHT meraikan kejayaan selaku naib juara TNB-LHM 2020. |
KUALA TERENGGANU, 17 Februari- Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) akur bergelar naib juara Liga Hoki (Wanita) Malaysia 2020 apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi terakhir liga.
Melayan kunjungan PKS Uniten di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Batu Buruk berbekal jumlah mata yang sama dengan pendahulu, Hockey Academy KL, LTHT cuba memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri sebaik mungkin.
Walaupun menyedari perbezaan jaringan yang besar memberi kelebihan kepada pendahulu, anak buah Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tetap mempamerkan aksi terbaik.
Bagaimanapun, pasukan pelawat terlebih dahulu berada di depan apabila penyerang, Ziti Nur Arfah Mohd Nor berjaya menguis bola hantaran Nur Aisyah Yaacob menerobos gawang tuan rumah pada minit ke-22.
TLHT cuba bangkit menyamakan kedudukan dan akhirnya berjaya menerusi Juliani Mohamad Din yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-44.
Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan membolehkan TLHT mengumpul 23 mata sekaligus gagal mempertahankan kejuaraan musim lalu.
Pengendali pasukan, Nasihin bagaimapun berpuas hati dengan pencapaian anak-anak buahnya.
“Tahniah kepada Hockey Academy KL, tetapi kami berjaya memberikan saingan yang terbaik kepada mereka, malah berjaya mengalahkan mereka satu ‘game’ dan berada di kedudukan kedua juga masih dalam sasaran kami.
“Sebenarnya, kita hilang mata ketika kalah dengan pendahulu para peringkat pertama, tetapi saya rasa pemian-pemain boleh berikan yang terbaik lagi kerana permainan mereka meningkat ‘game by game’,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tersebut, hari ini.
Tambahnya, TLHT juga telah bersedia untuk memberikan cabaran dalam saingan Piala Vivian May Soars yang akan bermula Rabu ini.
“Kami sudah melakukan banyak ‘try and error’, jadi kalau tengok kami tiada menang besar sebab kekuatan kami di bahagian pertahanan pasukan.
“Hari ini, saya berpuas hati kerana kami tidak ‘drop’ mata dan ini memberikan motivasi kepada pasukan untuk perlawanan akan datang,” katanya.
Jelasnya, beliau tetap meletakkan sasaran untuk mempertahankan status juara walaupun menyedari kekuatan pasukan-pasukan yang bertanding jauh berbeza berbanding tahun 2019.
“Kami akan ambil peluang yang terbaik untuk ke ‘final’ dan tanpa tekanan untuk bergelar juara, walaupun banyak yang sudah berubah tahun ini,” katanya.