Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
Dr Azman Ibrahim. |
SETIU, 19 Januari - Sesebuah organisasi atau jabatan digesa agar mengubah dan memperbaiki budaya kerja terutama yang melibatkan keperluan segera rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, setiap entiti perlu bergerak secara proaktif supaya manfaatnya dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.
Katanya, sekiranya prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada menyebabkan sesuatu urusan menjadi lambat, maka SOP tersebut perlu dikaji dan diperhalusi semula.
“SOP yang diguna pakai pada tahun 2000 tentu sekali sudah tidak sesuai diguna pakai pada tahun 2020. Apatah lagi kalau ia sudah digunakan sejak lebih 30 tahun lalu.
“Dalam mesyuarat, kita tak mahu terima laporan bahawa sesuatu urusan sedang ‘dalam proses'. Kalau ia dalam proses, maka harus diperincikan apakah proses tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar semua jabatan membuat perbincangan pengurusan selepas mesyuarat induk bagi menyelesaikan hal-hal teknikal.
“Tidak ada istilah selepas mesyuarat, wakil jabatan balik tanpa berbuat apa-apa. Kemudian mesyuarat bulan terbaharu pula barulah melihat kembali minit mesyuarat lepas untuk bagi maklum balas.
“Maklum balas yang diberi pula adalah ‘dalam proses’. Ini cara lama yang tak akan membawa kita ke mana-mana,
“Rakyat tak berminat nak tahu apa SOP yang kita lalui untuk menyelesaikan sesuatu urusan kerja. Yang rakyat mahu tahu adalah hasil. Ini adalah hak rakyat untuk menuntut apa yang terbaik untuk mereka,” katanya.